Kecemerlangan Marko Simic bersama Persija Jakarta dalam saingan Liga 1 Indonesia sedikit-sebanyak mendapat sorotan peminat bola sepak Malaysia kerana sebelum ini Simic pernah mewakili Negeri Sembilan dan Melaka United. Baru-baru ini, desas-desus mengatakan Simic bakal kembali ke Liga Malaysia.

Menurut .netguncelhaber.com, kelab utama Liga Turki, Besiktas berminat untuk menandatangani penyerang berusia 30 tahun ini. Setakat ini, Simic berjaya menjaringkan lapan gol untuk Persija dalam semua pertandingan.

Setelah kehilangan Cenk Tosun yang menyertai Everton pada jendela perpindahan musim sejuk lalu, Besiktas sememangnya mencari pengganti kepada beliau. Dan persembahan cemerlang Simic bersama Persija nyata mearik minat pasukan Ricardo Quaresma ini untuk menandatangani beliau.

Namun, bukan hanya Besiktas sahaja yang dikhabarkan menunjukkan minat terhadap Simic. Menurut netguncelhaber.com, ada pasukan dari Liga Malaysia juga menunjukkan minat terhadap khidmat Simic.

Jika kita melihat kepada situasi semasa beberapa pasukan dalam Liga Malaysia, memang ada pasukan yang sedang mencari khidmat penyerang import bagi mengukuhkan pasukan mereka. Antaranya ialah Johor Darul Ta’zim yang mahu mencari pengganti Luciano Figueroa.

Selain JDT, bekas pasukan Simic iaitu Negeri Sembilan juga sedang mencari pasangan untuk penyerang import sedia ada iaitu Nicolas Velez. Selain JDT dan Negeri Sembilan, Kedah juga berkemungkinan mencari penyerang import baru bagi menggantikan Pablo Pallares yang dilihat gagal untuk menunjukkan kebolehan sebenar.

Jika benar Simic kembali ke saingan Liga Malaysia, menarik untuk kita saksikan bagaimana perlumbaan untuk memenangi kasut emas saingan Liga Super musim ini. Kita sudah sedia maklum prestasi beliau bersama Persija.

Jadi, jika beliau mampu untuk mengekalkan prestasi semasa apabila bermain di Liga Malaysia kelak, sudah tentu beliau boleh memberikan cabaran dalam perlumbaan Kasut Emas.

Apa pendapat anda mengenai berita Marko Simic yang bukan saja menarik minat Besiktas, tetapi juga menarik minat beberapa pasukan dalam Liga Malaysia ? Dan jika benar beliau kembali, mampukah Simic menunjukkan prestasi sepertimana ketika beliau bersama Persija ?

Baca Juga: Kelantan Mahukan Khidmat Marko Simic

Leave a comment

Your email address will not be published.