• Setelah khidmatnya tidak lagi diperlukan, sudah ada tawaran daripada pasukan Liga Super untuk mendapatkan khidmat penjaga gol berpengalaman negara, Khairul Fahmi Che Mat. Pasukan yang dimaksudkan ialah Melaka United yang dikhabarkan merisik Apek bagi memperkuatkan pasukan mereka pada jendela perpindahan kedua nanti.

    Ketika ini, Melaka mempunyai Fazli Paat, Zamir Selamat dan Faridzuean Kamaruddin dalam pasukan utama. Dua penjaga gol yang sering diturunkan dalam kesebelasan utama ialah Zamir dan juga Fazli. Namun, kedua-dua penjaga gol ini gagal untuk mempamerkan aksi yang konsisten.

    Aksi tidak konsisten Zamir dan Fazli sering membuatkan Melaka keciciran mata. Jika Melaka mahu kekal untuk bersaing dalam kelompok pasukan teratas Liga, mereka harus mempunyai barisan pertahanan yang kukuh dan tidak mudah untuk melepaskan gol.

    Dengan kehadiran Khairul Fahmi di situ, jurulatih Melaka United, Eduardo Almeida mempunyai banyak pilihan bagi posisi penjaga gol. Akan ada persaingan sihat diantara ketiga-tiga penjaga gol. Persaingan ini bermakna setiap penjaga gol akan menggandakan usaha mereka bagi diturunkan dalam kesebelasan utama. Banyak perkara yang boleh diperolehi oleh Melaka daripada situasi ini.

    Penulis berpendapat jika Melaka United berjaya mendapatkan khidmat Apek, ini adalah satu pembelian yang amat berbaloi bagi mereka. Cukup untuk kita melihat pengalaman yang dimiliki Apek sepanjang beraksi bersama Kelantan dalam saingan Liga Malaysia.

    Selain Melaka United, pasukan Kuala Lumpur juga dilihat menunjukkan minat terhadap khidmat Khairul Fahmi. Sebelum ini, Kuala Lumpur menghadapi masalah di posisi penjaga gol. Namun, dalam dua perlawanan terakhir, Kuala Lumpur seakan-akan berjaya menyelesaikan masalah tersebut dengan menurunkan penjaga gol muda, Khatul Anuar.

    Khatul beraksi dengan cemerlang ketika Kuala Lumpur seri dengan Pahang dan menewaskan Selangor. Jika Fabiio Maciel mahukan seorang back up untuk Khatul, maka Apek adalah satu pilihan yang baik.

    Apa pendapat anda tentang pasukan Melaka United yang merisik Apek bagi memperkuatkan pasukan mereka ? Adakah Apek merupakan satu pilihan yang tepat ? Atau Melaka perlu mencari penjaga gol yang lain selain Apek ?

    Baca Juga: 5 Destinasi Seterusnya Bagi Apek

    Leave a comment

    Your email address will not be published.