• Hari ini, Kedah akan menerima kunjungan pasukan yang sedang on form iaitu Selangor dalam perlawanan Liga Super 2018. Setelah berehat panjang, Kedah dilihat mahu kembali dengan mengutip kemenangan pertama dibawah bimbingan Nidzam Adha musim ini. Perlawanan hari ini juga peluang Pablo Pallares untuk memikat hati Nidzam.

    Prestasi tidak menentu Pablo setakat ini sememangnya menjadi sasaran kritikan peminat pasukan Kedah. Harapan menggunung peminat ke atas Pablo yang mahukan beliau untuk setanding dengan penyerang pasukan musim lalu, Ken Ilso Larsen nyata terlalu berat untuk dipikul oleh beliau.

    Pablo hanya mampu menjaringkan 3 gol dalam saingan Liga setakat ini. Satu catatan yang agak mengecewakan untuk penyerang yang mewakili pasukan besar seperti Kedah. Kami juga berpendapat prestasi tidak menentu Pablo juga menjadi faktor mengapa Kedah sedikit bergelut dalam saingan musim ini.

    Sudah kedengaran suara dari kalangan peminat yang mahukan beliau digantikan dengan pemain lain pada jendela perpindahan kedua nanti. Namun, Pablo masih mempunyai lima perlawanan untuk membuktikan bahawa beliau masih lagi relevan untuk dikekalkan.

    Apa yang pasti, Pablo perlu mula menjaringkan gol bermula dengan perlawanan menentang Selangor hari ini. Sebelum ini, Kedah banyak mengharapkan Liridon Krasniqi dan Akhyar Rashid untuk mencari jaringan. Jadi penting untuk Pablo memainkan peranan sebagai penjaring dan memberikan Liridon dan Akhyar untuk fokus dalam membantu beliau.

    Selain Pablo, Andik Vermansah dan juga Alvaro Silva perlu meningkatkan lagi mutu permainan mereka. Andik perlu lebih efektif di bahagian sayap bagi membantu jentera serangan. Beliau perlu menemukan sentuhan sepertimana ketika beliau mewakili Selangor sebelum ini.

    Bagi Alvaro Silva pula, beliau harus mengurangkan kesilapan dan juga membentuk gandingan mantap di bahagian pertahanan. Dalam perlawanan sebelum ini, pintu gol Kedah dibolosi hasil daripada kesilapan barisan pertahanan.

    Apa pendapat anda mengenai peluang Pablo Pallares dalam perlawanan menentang Selangor hari ini ? Mampukah beliau beraksi cemerlang sekaligus memikat hati Nidzam Adha untuk mengekalkan beliau ?

    Baca Juga: Rufino Mampu Kekalkan Momentum ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.