• Pertembungan antara Selangor menentang Kuala Lumpur esok nyata berbeza daripada pertembungan kedua-dua pasukan pada awal musim ini. Setelah melalui prestasi yang tidak menentu, kedua-dua pasukan berjaya menemukan semula rentak kemenangan. Untuk merobek gawang lawan, kedua-dua pasukan akan bergantung kepada penyerang prolifik pasukan iaitu Rufino Segovia untuk Selangor dan Zaquan Adha untuk pasukan Kuala Lumpur.

    Seperti yang kita sedia maklum, Ruufino Segovia berjaya mengekalkan rentak cemerlang beliau walaupun pasukan Selangor sedang tidak berada dalam prestasi yang baik. Dalam saingan Liga Super, Rufino berjaya menjaringkan 5 gol manakala dalam saingan Piala FA, Rufino berjaya menjaringkan 3 gol setakat ini.

    Besar kemungkinan Rufino akan digandingkan dengan Amri Yahyah dan juga Ilham Udin Armayn di bahagian serangan pasukan memandangkan Joseph Kalang Tie dan Azamuddin Akil masih lagi mengalami kecederaan. Gandingan Rufino, Amri dan Ilham beraksi dengan cemerlang sewaktu Selangor menewaskan Terengganu FC dalam pusingan ketiga.

    Untuk Zaquan Adha pula, persembahan cemerlang beliau bersama pasukan kebangsaan ketika perlawanan menentang Bhutan
    minggu lalu sudah pasti menjadikan beliau pilihan nombor satu untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Empat gol yang berjaya dijaringkan pada minggu lalu menjadi satu amaran kepada pasukan lain bahawa Zaquan Adha yang dulu sudah sedia untuk kembali.

    Kami menjangkakan Zaquan akan digandingkan dengan Guilherme De Paula sambil dibantu oleh Paulo Josue di bahagian serangan. Ketiga-tiga pemain ini menjadi pemangkin kepada kebangkitan Kuala Lumpur dalam dua perlawanan terakhir dimana Kuala Lumpur menewaskan Kedah dan juga Melaka United.

    Menarik untuk kita menyaksikan bagaimana dua penyerang prolifik ini mempamerkan ketajaman mereka. Kedua-duanya bakal menjadi harapan utama untuk mendapatkan gol penting dalam perlawanan suku akhir yang pertama esok.

    Apa pandangan anda mengenai pertembungan di antara Rufino Segovia menentang Zaquan Adha ? Penyerang mana yang akan meledak gol terlebih dahulu sekaligus menjamin bekalan selesa pasukan menjelang perlawanan suku akhir yang kedua ?

    Baca Juga: Klang Valley Derby, Siapa Yang Akan Menjadi Raja Lembah Klang ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.