• Perlawanan suku akhir pertama antara pasukan Johor Darul Ta’zim menentang Pahang nyata tidak seperti yang diharapkan oleh peminat bola sepak negara. Perlawanan ini berkesudahan seri tanpa jaringan. Kedua-dua pasukan nampaknya sama kuat dan sama hebat.

    Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menyerang pada separuh masa pertama. Terutamanya JDT yang dilihat lebih dominan dengan beberapa percubaan ke arah gawang pasukan Pahang. Namun, kami berpendapat persembahan barisan serangan JDT nyata mengecewakan.

    Trio serangan yang diturunkan iaitu Gonzalo Cabrera, Hazwan Bakri dan Safawi Rasid beraksi hambar dengan kurangnya percubaan berbahaya daripada ketiga-tiga pemain ini. Terutamanya Hazwan Bakri yang diletakkan sebagai penggempur utama. Beliau gagal untuk mencipta dan juga menyudahkan peluang yang dimiliki. Persembahan hambar barisan serangan JDT sememangnya menyukarkan pasukan untuk mencari gol di tempat lawan.

    Bagi pasukan Pahang pula, mereka dilihat lebih bernyawa pada separuh masa kedua. Mereka mula mencipta beberapa peluang keemasa untuk menjaringkan gol. Hanya saja nasib tidak menyebelahi Pahang apabila barisan serangan mereka juga gagal untuk menjalankan tugas dengan baik.

    Barisan serangan Pahang tampak bergelut tanpa kehadiran Francis Forkey Doe di situ. Mohamadou Sumareh yang menggantikan beliau juga mengakui agak sulit untuk Pahang bermain bola sepak seperti biasa dengan ketiadaan Forkey Doe.

    Apa yang menarik perhatian kami dalam perlawanan semalam adalah pertembungan di bahagian tengah antara Safiq Rahim yang bergandingan dengan Natxo Insa berhadapan dengan Nor Azam Azih yang berpasangan dengan Safuwan Baharuddin. Dalam pertembungan ini, Azam dan Safuwan dilihat lebih dominan dengan berjaya mematahkan gerakan serangan JDT dan juga berjaya membantu gerakan serangan pasukan Pahang dengan baik.

    Walau apa pun, kami merasakan bahawa kedua-dua pasukan telah mencuba sedaya-upaya untuk menjaringkan gol. Namun, kegagalan barisan serangan untuk menyudahkan telah membantutkan niat kedua-dua pasukan.

    Hasil daripada perlawanan semalam nyata memberi sedikit kelebihan buat pasukan Pahang apabila mereka bertandang ke Larkin pada suku akhir kedua nanti. Mereka hanya perlu menjaringkan satu gol bagi mara ke peringkat separuh akhir.

    Baca Juga: Serangan Siapa Yang Lebih Berkesan ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.