• Prestasi cemerlang Selangor dalam saingan Piala FA gagal dibawa ke Liga Super apabila mereka tewas di tangan Kedah dengan keputusan 4-0 minggu lalu. Ini bukan kali pertama Selangor dibolosi dengan jumlah empat gol dalam satu perlawanan. Penulis berpendapat mereka perlukan seorang penjaga gol baru bagi mengelakkan masalah ini berterusan.

    Di sini, penulis bukannya mahu menidakkan sumbangan penjaga gol sedia ada. Namun, kita boleh lihat prestasi tidak menentu dua penjaga gol yang diturunkan iaitu Khairul Azhan Khalid dan Norazlan Razali. Jumlah jaringan yang dilepaskan kedua-dua penjaga gol ini juga membimbangkan.

    Setakat ini, dalam semua pertandingan, Norazlan telah dibolosi sebanyak 10 kali manakala Khairul Azhan pula dibolosi sebanyak 6 kali. Pasukan Selangor juga menjadi pasukan yang paling banyak dibolosi dalam saingan Liga Super setakat in dengan 15 gol diikuti dengan Kedah yang dibolosi sebanyak 12 kali. Penulis pasti pasukan Selangor tidak mahu statistik buruk seperti ini berkekalan.

    Menurut penulis, ada dua pilihan yang boleh diambil oleh Red Giants bagi menyelesaikan masalah ini. Yang pertama, mereka boleh memberi peluang kepada pemain muda, Haziq Ridwan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Haziq dinaikkan pangkat setelah membantu skuad Piala Presiden Selangor menjadi juara musim lalu.

    Satu lagi pilihan yang boleh diambil kira adalah mendapatkan seorang penjaga gol baru apabila jendela perpindahan kedua dibuka nanti. Ada beberapa penjaga gol yang beraksi dengan baik dalam Liga Malaysia yang boleh diberi perhatian untuk memperkuatkan barisan penjaga gol sedia ada.

    Akhir sekali, jika Selangor masih lagi mahu menggunakan Wak Lan dan Yan sebagai penjaga gol utama ppasukan, banyak yang perlu diperbaiki oleh kedua-dua penjaga gol ini bagi memastikan mereka tidak melakukan kesilapan seperti sebelum ini.

    Itulah pendapat penulis mengenai jalan penyelesaian yang boleh diambil oleh pasukan Selangor untuk memastikan rekod buruk mereka tidak berkekalan. Banyaknya gol yang dilepaskan sedikit-sebanyak menjejaskan kedudukan mereka dalam carta Liga Super.

    Baca Juga: Kita Dah Jauh Ketinggalan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.