• Selangor mempunyai kelebihan besar apabila berjaya memperolehi 3 gol di tempat lawan dengan menewaskan seteru Lembah Klang, Kuala Lumpur 3-0 dalam perlawanan suku akhir pertama semalam. Selangor nyata lebih meyakinkan berbanding lawan mereka dalam perlawanan yang panas dengan pelbagai insiden.

    Anak-anak buah Nazliazmi mengasak sejak minit pertama perlawanan. Dan hasilnya, mereka berjaya memperolehi gol pertama menerusi tandukan Willian Pacheco dan juga kelincahan Rufino Segovia yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Kuala Lumpur, Kamuarul Effendi.

    Layangan kad merah kepada penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula nyata menutup ruang pasukan The City Boys untuk bangkit. Dalam perlawanan semalam memang jelas kita lihat pemain Kuala Lumpur tidak beraksi dengan baik dan juga terlalu beremosi. Apabila mereka bermain dengan 10 pemain, ia semakin sukar untuk membuat sebarang kebangkitan.

    Kami berpendapat hanya emosi saja yang membantutkan perancangan Kuala Lumpur. Kad merah yang diterima oleh Guilherme De Paula boleh dielakkan sekiranya beliau lebih tenang dan bijak untuk mengawal emosi. Walaupun Kuala Lumpur cuba untuk memberikan saingan, namun barisan Selangor nyata terlalu ampuh dan juga lebih meyakinkan dalam menyerap asakan daripada pasukan lawan.

    Selangor juga dilihat lebih garang dan juga lebih meyakinkan dari segi corak permainan mereka. Nampaknya keputusan pengurusan pasukan untuk melantik Nazliazmi sambil dibantu oleh Rusdi Suparman dilihat tepat. Pemain juga dilihat lebih selesa dengan pendekatan yang digunakan oleh Nazliazmi Nasir.

    Apa yang pasti, pasukan Selangor hanya perlu mempertahankan kelebihan yang dimiliki oleh mereka pada perlawanan suku akhir kedua. Bagi pasukan Kuala Lumpur, banyak perkara yang harus diperbaiki jika mereka mahu memberikan saingan kepada pasukan Selangor. Barisan pemain Kuala Lumpur juga harus memastikan Selangor tidak menjaringkan sebarang gol.

    Apa pendapat anda mengenai persembahan pasukan Selangor dibawah bimbingan Nazliazmi Nasir ? Adakah kualiti pasukan meningkat ? Dan apa yang diperlukan oleh pasukan Kuala Lumpur untuk membuat “comeback” pada perlawanan suku akhir kedua nanti ?

    Baca Juga: Penyerang Prolifik Mana Yang Lebih Hebat ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.