• Persatuan Bola Sepak Selangor (FA), telah melantik Nazliazmi Nasir sebagai ketua jurulatih pasukan Selangor yang baru. Nazliazmi sebelum ini diberi tanggungjawab sebagai jurulatih sementara pasukan setelah P.Maniam direhatkan akibat daripada prestasi buruk dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super.

    Bekas pengendali Kuantan FA dan juga legenda Selangor pada era 90an, Rusdi Suparman pula dilantik sebagai penolong kepada Nazliazmi. Nampaknya, FAS mahukan jurulatih muda bagi mengendalikan pasukan bagi saingan musim ini. Kedua-dua jurulatih ini juga tidak asing lagi bersama pasukan Selangor. Nazliazmi dan Rusdi pernah menjadi pengendali skuad Piala Presiden sebelum ini.

    Nama Nazliazmi Nasir mula menjadi kegemaran para peminat apabila beliau berjaya membimbing Selangor menewaskan Terengganu FC dalam saingan Piala FA. Semenjak daripada kemenangan itu, peminat mencadangkan supaya FAS mengangkat Nazliazmi sebagai ketua jurulatih yang baru.

    Kami berpendapat dengan pelantikan Nazliazmi dan Rusdi, kita akan melihat kelibat pemain muda dalam barisan kesebelasan utama Selangor dengan lebih kerap. Ini kerana ada antara pemain dalam pasukan Selangor merupakan anak buah kepada Nazliazmi dalam skuad yang menjuarai Piala Presiden musim lalu. Jadi sudah pasti Nazliazmi mahu mengekalkan momentum penggunaan pemain muda ini.

    Apa yang pasti, ada satu tanggungjawab yang besar sedang menanti Nazliazmi dan juga Rusdi. Mereka harus segera berganding bahu bagi mencari formula bagaimana untuk mengembalikan Selangor ke jalan kemenangan. Terutama sekali dalam saingan Liga Super dimana ketika ini Selangor menduduki tangga kelapan.

    Rusdi akan memulakan tugas sebagai penolong kepada Nazliami sabtu ini dimana Selangor akan menentang Kuala Lumpur dalam perlawanan peringkat suku akhir saingan Piala FA 2018. Beliau akan berhadapan Fabio Maciel, dimana musim lalu Rusdi menjadi pembantu kepada Fabio yang berjaya membimbing Kuala Lumpur memenangi Liga Perdana.

    Apa pendapat anda dengan pelantikan Nazliazmi Nasir dan Rusdi Suparman sebagai ketua jurulatih serta penolong jurulatih yang baru bagi pasukan Selangor ? Mampukah kedua-dua jurulatih ini memperbaiki reputasi Selangor dalam saingan Liga Malaysia ?

    Baca Juga: Siapa Yang Layak ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.