Sumber Gambar: Pahang FA

Pemain muda pasukan Pahang, Faisal Halim berjaya menunjukkan prestasi yang baik semenjak beliau diberi peluang untuk tampil dalam kesebelasan utama ketika Pahang seri dengan pasukan Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA bulan lalu.

Dalam empat perlawanan terakhir, Faisal berjaya menjaringkan dua gol, lebih tepatnya ketika Pahang menewaskan Melaka United dengan keputusan 2-0 dan menewaskan pasukan Terengganu FC dengan keputusan 3-1.

Faisal berjaya menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam empat perlawanan terakhir Liga Super. Gelecekkan dan juga larian pantas beliau dari sebelah sayap berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan lawan. Gerakkan Faisal dari sebelah sayap juga berjaya membantu barisan serangan pasukan untuk menjaringkan gol.

Dengan prestasi baik yang ditunjukkan oleh Faisal ini, penulis melihat beliau adalah calon yang sesuai untuk mengisi tempat yang ditinggalkan oleh pemain import Asean, Chan Vathanaka yang dilepaskan oleh pasukan pada awal bulan ini.

Faisal dilihat boleh bersaing dengan pemain import yang baru dibawa masuk iaitu Issey Nakajima bagi memperebutkan posisi sayap kiri pasukan. Penulis melihat persaingan antara kedua pemain ini boleh memberikan manfaat kepada Pahang kerana mereka memunyai dua pemain yang mampu beraksi dengan baik di posisi sayap kiri.

Dollah juga tidak perlu risau jika pemain import, Muhamadou Sumareh tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama kerana Faisal juga mampu untuk mengisi kekosongan di sebelah kanan. Lihat saja persembahan yang ditampilkan beliau ketika Pahang menewaskan Melaka United dan Terengganu FC.

Walau apa pun, masih banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki oleh Faisal untuk meningkatkan lagi tahap dan mutu permainan beliau. Faisal masih lagi berumur 21 tahun. Jadi perjalanan beliau dalam dunia bola sepak profesional masih panjang.

Apa pendapat anda mengenai prestasi semasa pemain sayap pasukan Pahang iaitu Faisal Halim ? Adakah dengan persembahan beliau dalam empat perlawanan terakhir, Faisal layak untuk terus diletakkan dalam kesebelasan utama ?

Baca Juga: Kekalkan Gandingan R.Kogileswaran Dan Patrick Cruz Di Bahagian Serangan

Leave a Reply