• Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengarahkan pasukan yang telah dibubarkan, Kuantan FA untuk membayar sejumlah RM763,063 kepada 23 bekas pemain mereka. Keputusan tersebut telah dibuat oleh Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat kali kelima bagi penggal 2017-2021. Ada duit atau tiada, Kuantan FA mesti membayar tunggakan tersebut!

    Kuantan FA telah disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia apabila pemain dan pegawai pasukan enggan untuk bermain ketika Kuantan FA dijadualkan untuk menentang PDRM FA di Stadium Shah Alam April lalu.

    Tindakan boikot yang dijalankan oleh pemain dan juga pegawai pasukan berpunca daripada gaji yang sudah tidak dibayar selama empat bulan.

    Kuantan FA diwajibkan untuk melunasi bayaran tersebut dalam tempoh 30 hari. Antara pemain yang diwajibkan untuk menerima bayaran daripada Kuantan FA ialah penjaring terbanyak Liga Super 2011, Abdul Hadi Yahyah (RM50,000), bekas pemain Kelantan dan Johor Darul Ta’zim, Daudsu Jamaluddin (RM25,500), bekas penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat (RM50,000), bekas ketua pasukan Kuala Lumpur, Helmi Remeli (RM30,000) dan pemain import, Rancho Da Silva Andre Francisco (USD28,387.09). Anda boleh lihat senarai penuh di sini.

    Jika gagal untuk melunaskan bayaran dalam tempoh 30 hari, perkara tersebut akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

    Berkemungkinan besar hukuman lebih berat akan dikenakan terhadap Kuantan jika mereka gagal untuk melunasi bayaran.

    Selain pasukan Kuantan, ada dua lagi pasuka yang diarah untuk membayar tunggakan gaji kepada pemain mereka. Dua pasukan tersebut adalah Petaling Jaya Rangers dan pasukan Perlis. PJR diarahkan untuk membayar sejumlah RM120,000 kepada bekas pemain mereka iaitu Abdullah Bin Yusoff.

    Bagi pasukan Perlis pula, mereka diarahkan untuk membayar tunggakan gaji kepada 22 pemain mereka. Sama seperti Kuantan, jika mereka gagal untuk melunasi bayaran dalam tempoh 30 hari, berkemungkinan besar hukuman yang lebih berat akan dikenakan.

    Walau apa pun, diharapkan tiga pasukan ini berusaha untuk melunasi hutang mereka. Para pemain dan pegawai pasukan berhak untuk mendapatkan duit mereka!

    Baca Juga: Kuantan FA Sah Dibubarkan!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.