• Penyerang Pulau Pinang, Ken Ilso Larsen telah meletakkan jawatan beliau atau yang lebih mudah difahami dengan terma menamatkan kontrak beliau bersama pasukan Pulau Pinang semalam. Setelah menjadi ejen bebas, ada pasukan yang mahukan khidmat Ken Ilso Larsen ini?

    Ken Ilso menampilkan persembahan yang cemerlang bersama pasukan Kedah musim lalu. Beliau berjaya menjaringkan 15 gol dalam saingan Liga Super 2017. Dalam semua pertandingan, Ken berjaya menjaringkan 25 gol. Satu pencapaian yang sangat baik memandangkan musim 2017 merupakan musim pertama Ken dalam saingan Liga Malaysia.

    Penyerang berusia 32 tahun ini dikaitkan dengan pasukan Kedah sebelum ini apabila Kedah mahu mencari pengganti kepada Pablo Pallares yang tidak menunjukkan prestasi yang baik. Namun, nama Paulo Rangel dilihat calon yang sudah ditetapkan oleh pengurusan pasukan Kedah.

    Kami berpendapat banyak pasukan yang boleh mengambil khidmat Ken Ilso Larsen ini. Terutamanya pasukan dalam saingan Liga Super yang sedang mencari penyerang import.

    Antara pasukan yang boleh mempertimbangkan khidmat Ken Ilso Larsen ialah pasukan Negeri Sembilan. Pasukan Negeri Sembilan dilihat memerlukan penyerang yang boleh memberi impak segera bagi menyelamatkan mereka daripada jatuh ke saingan Liga Perdana musim hadapan.

    Satu lagi pasukan yang dilihat boleh membawa masuk Ken Ilso ialah pasukan Kelantan. Ketika ini, kuota import pasukan Kelantan hanya diisi oleh Alaeddine Bouslimi dan Cassio De Jesus. Kedua-dua pemain ini adalah pemain pertahanan.

    Jadi mereka boleh membawa masuk seorang lagi pemain import di bahagian serangan. Kami berpendapat Ken Ilso adalah satu penambahan yang baik untuk pasukan Kelantan.

    Walau apa pun, pasukan yang berjaya mendapatkan khidmat Ken Ilso mempunyai kelebihan yang besar di bahagian serangan. Ini kerana sudah terbukti bahawa Ken Ilso mampu untuk menjaringkan gol dalam saingan Liga Malaysia.

    Apa pendapat anda mengenai keputusan Ken Ilso Larsen yang menamatkan kontrak beliau bersama pasukan Pulau Pinang?

    Pasukan manakah yang akan menjadi destinasi seterusnya bagi Ken Ilso Larsen?

    Baca Juga: Sylvano Comvalius Atau Ken Ilso Larsen

    Leave a comment

    Your email address will not be published.