• Pasukan AMD Bawah 15 Tahun berjaya menjuarai International Youth Football Tournament yang diadakan di Maastricht, Belanda pada 26 Mei lalu. Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif National Football Developement Program (NFDP), Safirul Abu Bakar menerusi laman media sosial Twitter beliau.

    Pasukan AMD bawah 15 Tahun negara berjaya mengetepikan cabaran daripada beberapa pasukan akademi seperti KRC Genk, FC Lugano dan Zaglebie Lubin. Masih lagi tiada keputusan rasmi yang dikeluarkan namun pencapaian pasukan bawah 15 tahun ini adalah satu pencapaian yang cemerlang.

    Sebelum ini, pasukan AMD bawah 15 tahun negara mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan Whitsun yang diadakan di Hollage, Jerman. Pasukan AMD ini tewas kepada kelab Jerman, DSC Arminia Bielefeld di peringkat separuh akhir menerusi sepakan penalti.

    Kami berpendapat kejayaan muncul juara dalam pertandingan International Youth Football Tournament ini sedikit sebanyak menunjukkan yang pemain muda kita cukup berkualiti apabila mereka mampu untuk menewaskan pemain-pemain daripada antara akademi terbaik di Eropah.

    Kejayaan mereka menjadi juara ini juga berpotensi untuk menarik minat pasukan akademi lain untuk mengambil pemain AMD bawah 15 tahun ini bagi menjalani percubaan bersama mereka. Sebelum ini, dua pemain AMD bawah 14 tahun dan bawah 15 tahun dijemput oleh AZ Aalkmaar bagi menjalani percubaan bersama kelab Belanda itu.

    Tahniah diucapkan kepada pasukan AMD bawah 15 tahun yang berjaya memenangi International Youth Football Tournament ini. Apa yang penting, para pemain perlu mengekalkan rentak semasa bagi meraih banyaklagi kejuaraan pada masa akan datang.

    Kejayaan yang diraih oleh AMD bawah 15 tahun ini juga diharapkan menjadi pembakar semangat kepada pasukan AMD yang lain agar berusaha lebih keras lagi bagi meraih kejayaan di pentas antarabangsa.

    Baca Juga: Jangan Jadi Macam Abang-Bang Kalian Ye!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.