• Barisan muda pasukan Kelantan dilihat tidak bermaya apabila mereka dilihat tidak mampu untuk memberi cabaran kepada pemain Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Super 2018 semalam. Kelantan dibelasah 5-1 oleh pasukan The City Boys. Apa sudah jadi dengan pemain muda ini ?

    Anak-anak buah Fajr Ibrahim nyata tidak bermain seperti biasa pada perlawanan semalam. Dibolosi dua gol pada sepuluh minit pertama perlawanan nyata menjadi titik tolak kepada kekalahan besar pasukan Kelantan.

    Fajr menurunkan hampir 80% pemain muda dalam kesebelasan utama beliau semalam. Hanya dua pemain import, Cassio De Jesus dan Alaeddine Bouslimi saja yang menjadi pemain senior di atas padang. Pemain muda ini nyata tidak mampu untuk menyekat asakan barisan serangan lawan dan seakan-akan tidak bermaya untuk melancarkan serangan.

    Bagi pasukan Kuala Lumpur pula, mereka memanfaatkan sepenuhnya kelalaian pemain muda Kelantan dengan melancarkan asakan bertali arus ke kubu pertahanan pasukan lawan. Ketika Kuala Lumpur menjaringkan gol ketiga, perlawanan seoalah-olah sudah dimenangi mereka.

    Penyerang import The City Boys, Guilherme De Paula menjadi watak penting dalam kemenangan semalam apabila beliau berjaya menjaringkan dua gol. Gandingan beliau bersama Paulo Josue di bahagian serangan berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Kelantan. Khususnya pada separuh masa pertama di mana kedua-dua pemain berjaya menjaringkan gol.

    Banyak aspek yang harus diperbaiki oleh Fajr Ibrahim bagi memastikan pasukan muda beliau tidak dibelasah lagi pada perlawanan yang akan datang.

    Kami melihat posisi penjaga gol perlukan perhatian khusus daripada Fajr. Mereka tiada pilihan lain selain menurunkan Fikri Che Soh selepas pasukan melepaskan Ramadhan Hamid untuk menyertai pasukan Kedah.

    Selain posisi penjaga gol, Fajr perlu memantapkan bahagian pertahanan pasukan. Alaeddine dan Cassio perlu segera menyesuaikan diri antara satu sama lain.

    Bagi anak-anak buah Fabio Maciel pula, mereka hanya perlu mengekalkan rentak semasa untuk terus menjauhkan diri daripada zon penyingkiran dan mendaki ke kedudukan terbaik dalam carta Liga.

    Apa pendapat anda mengenai kekalahan besar pasukan muda Kelantan semalam ? Mampukah mereka bangkit pada perlawanan seterusnya ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.