• Siapa sangka perlawanan menentang Perak merupakan perlawanan terakhir sebelum ketua jurulatih Melaka United, Eduardo Almeida direhatkan oleh pengurusan pasukan. Keputusan yang diambil ini nyata mengejutkan peminat pasukan Melaka kerana kedudukan Melaka United ketika ini tidak berada di kedudukan bawahan seperti musim lalu.

    Dalam saingan Liga setakat ini, Melaka mengutip tiga kemenangan dan mengalami lima kekalahan. Akan tetapi, pasukan Melaka United musim ini jauh lebih baik berbanding Melaka United pada musim lalu. Melaka dilihat lebih garang dan menunjukkan corak permainan yang baik sekaligus mencipta kemenangan.

    Berbeza dengan musim lalu dimana mereka dilihat bergelut pada separuh masa pertama musim 2017. Satu lagi peningkatan yang ketara adalah di bahagian serangan. Pembelian Yahor Zubovich dilihat berbaloi apabila beliau setakat ini menjaringkan enam gol dalam saingan Liga.

    Para pemain juga dilihat serasi dan juga memahami kehendak yang dimahukan oleh Eduardo. Walaupun mereka tewas, tetapi mereka tewas kepada pasukan terbaik dalam Liga seperti pasukan Pahang dan juga Johor Darul Ta’zim.

    Apabila berdepan dengan pasukan yang sama taraf dengan mereka seperti pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan, Melaka berjaya menunjukkan dominasi mereka dengan mengutip kemenangan. Ini yang tidak mampu mereka lakukan pada separuh masa pertama musim lalu dimana mereka hanya mampu seri ataupun tewas.

    Kami berpendapat Melaka United Soccer Association (MUSA), mengambil langkah terburu-buru dengan merehatkan Eduardo. Mereka sepatutnya memberi lebih peluang kepada Eduardo untuk membuktikan bahawa beliau mampu untuk membawa pasukan Melaka ke tahap yang lebih baik.

    Tambahan pula, Eduardo Almeida merupakan jurulatih yang menyelamatkan mereka daripada tersingkir ke saingan Liga Perdana musim lalu. Jadi beliau berhak untuk dihormati dan diberi lebih peluang. Bukan direhatkan seperti sekarang ini.

    Apa pendapat anda mengenai tindakan pengurusan pasukan Melaka United yang merehatkan Eduardo Almeida ? Adakah dengan merehatkan beliau, Melaka United mampu untuk menjadi juara ? Atau ini adalah satu lagi keputusan melulu yang diambil oleh pengurusan Melaka United ?

    Baca Juga: Ada Udang Disebalik Tiket Ke ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.