• Pasukan Pahang berjaya mempertahankan kedudukan kedua dalam carta Liga Super apabila berjaya menewaskan pasukan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 semalam. Patrick Cruz menjadi wira mereka apabila berjaya menjaringkan dua gol. Pada perlawanan semalam, kami melihat Pahang terlalu bagus buat Terengganu FC.

    Anak-anak buah Dollah Saleh lebih kemas dan juga berdisiplin di semua bahagian. Kita boleh lihat Muslim Ahmad dan Afif Amiruddin meneruskan rentak cemerlang mereka dengan mengawal benteng pertahanan pasukan dengan baik. Nor Azam Azih dan Salomon Raj membentuk gandingan baik di bahagian tengah pasukan.

    Tapi yang menjadi perhatian semalam adalah barisan serangan pasukan Pahang yang sangat tajam dan juga berbahaya. Patrick Cruz berjaya menghidu peluang di dalam kotak penalti dan tenang untuk menjaringkan dua gol. Mohamadou Sumareh dan Chan Vathanaka juga membantu dengan memberi ancaman daripada sebelah sayap.

    Bagi pasukan Terengganu FC pula, barisan serangan mereka cukup mengecewakan semalam. Akanni masih lagi bergelut untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang digunakan oleh Irfan Bakti. Tiada percubaan berbahaya dan selalu lari daripada posisi beliau membuatkan Terengganu tidak banyak pilihan semalam.

    Barisan pertahanan Terengganu juga gagal untuk menyerap segala asakan barisan serangan pasukan Pahang. Kami berpendapat ketiadaan Nasrullah Hanif Johan sebagai pasangan Igor Zonjic sedikit sebanyak membuatkan benteng Terengganu FC sedikit rapuh.

    Dengan kemenangan semalam, Pahang terus memberikan tekanan kepada pendahulu Liga, Johor Darul Ta’zim dengan sekurang-kurangnya berada satu mata di belakang sehingga JDT menentang Selangor malam ini. Apa yang perlu dilakukan oleh Pahang ialah mengekalkan rentak semasa kerana barisan pemain mereka sedang berada dalam keadaan yang baik.

    Untuk Terengganu FC pula, mereka sudah pasti memerlukan kelibat Kipre Tchetche dan Nasrullah Hanif pada perlawanan seterusnya bagi memastikan kesilapan semalam tidak terulang pada perlawanan akan datang.

    Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan Pahang pada perlawanan semalam semalam ? Adakah Pahang terlalu bagus buat pasukan Terengganu FC ? Apa yang perlu dilakukan agar Terengganu kembali mengutip keputusan positif ?

    Baca Juga: Kembalinya Mereka Bakal Perkuatkan Pasukan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.