• Keputusan seri 3-3 ketika menentang Negeri Sembilan semalam sememangnya sukar untuk diterima peminat pasukan Kedah. Selesa mendahului 3-1 pada separuh masa pertama namun kelalaian benteng pertahanan menyebabkan kelebihan tersebut berjaya dipadam. Di sini, penulis mahu membidas sikap primadona segelintir pemain senior Kedah.

    Penulis mulakan dengan ketua pasukan Kedah semalam iaitu Khairul Helmi. Keon sepatutnya mudah untuk mengawal bola bagi menghalang Fauzi Abdul Latif daripada melepasi beliau. Akan tetapi, entah apa yang terjadi, Keon dilihat hanya melihat saja Fauzi mengawal bola dan seterusnya menjatuhkan beliau dalam kotak penalti.

    Sebagai pemain yang mempunyai pengalaman yang luas, perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku. Kealpaan Keon ini telah menyebabkan kerja keras rakan sepasukan di bahagian serangan menjadi sia-sia.

    Pemain senior lain yang penulis mahu bincangkan di sini ialah Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon. Pada separuh masa pertama, kedua-dua pemain ini bermain dengan sangat baik. Satu assist daripada Bad dan satu gol daripada Wan Kapet berjaya memberikan pasukan Kedah kelebihan menjelang separuh masa kedua.

    Namun, persembahan kedua-dua pemain ini pada separuh masa kedua cukup mengecewakan. Penulis mempersoalkan work rate kedua-dua pemain ketika pasukan Kedah sedang dalam keadaan bertahan. Mereka dilihat tidak membantu barisan pertahanan.

    Dan apabila Pablo Pallares dimasukkan bagi menghidupkan semula bahagian serangan, Baddrol dan Syazwan dilihat tidak membantu dari sebelah sayap. Tiada hantaran lintang yang dilakukan oleh Bad dan Wan Kapet seperti pada separuh masa pertama. Penulis merasakan seperti ada yang tidak kena antara mereka dengan penyerang import Kedah ini.

    Keputusan semalam nyata merugikan pasukan Kedah terutamanya. Setelah keciciran mata dalam perlawanan Liga sebelum ini, semalam adalah peluang terbaik mereka untuk mengutip mata penuh dan mendekatkan jarak dengan tiga pasukan terbaik.

    Walau apa pun, Nidzam Adha perlu memperbaiki kelemahan pasukan bagi memastikan kesilapan semalam tidak berulang lagi pada perlawanan akan datang. Para pemain senior juga perlu mengetepikan sikap primadona mereka demi kebaikan pasukan.

    Baca Juga: Pemain Senior Atau Pengurusan Pasukan Yang Berkuasa Ni ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.