• Seramai 736 pemain daripada 32 buah negara yang layak ke Piala Dunia 2018 telah diumumkan dengan 4 Jun semalam merupakan tarikh akhir penamaan pemain. Terdapat 8 fakta menarik di antara nama-nama yang diumumkan.

    1. England menghantar 100% pemain dari Liga Inggeris

    Sebagai negara yang mempercayai bolasepak berasal dari sana, Gareth Southgate telah menyenaraikan 23 orang pemain yang memikul tanggungjawab England di Piala Dunia kali ini, dan Southgate membawa kesemua pemain yang bermain di Liga Inggeris. Ini menjadikan England satusatunya negara pada edisi 2018 ini yang menyenaraikan kesemua pemain dari liga sendiri.

    Sebagai perbandingan, Russia selaku tuan rumah hanya mempunyai 2 pemain yang bermain di luar liga Russia, dan 3 pemain Arab Saudi bermain di liga Sepanyol. Walaupun pada edisi 2014, Russia diwakili oleh pemain dari liga Russia sepenuhnya.

    2. Senegal dan Sweden menghantar 0% pemain dari liga sendiri

    Berbeza dengan England, Aliou Cisse dari Senegal membawa 23 pemain yang tidak bermain di liga Senegal. 7 orang pemain bermain di liga Inggeris, dengan ketua pasukan Cheikhou Kouyate bermain di West Ham United.

    7 orang lainnya bermain di liga Perancis, 3 orang dari liga Itali, sisanya dari liga Jerman, Belgium dan Turki. Hanya seorang sahaja bermain di Afrika, iaitu Khadim N’Diaye yang bermain di liga Guinea.

    Janne Anderson juga membawa 23 pemain yang tidak bermain di liga Sweden. Ketua pasukan, Andreas Granqvist bermain untuk Krasnodar di liga Russia. Mungkin pengalaman Granqvist boleh menjadi mata-mata pasukan Sweden bagi mengenalpasti keadaan tuan rumah.

    Secara keseluruhan, 5 orang pemain Sweden bermain di liga Inggeris, 4 orang bermain di liga Itali, 3 orang masing-masing di liga Jerman dan Perancis, bakinya bermain di liga Belgium, Denmark, Scotland, Sepanyol, USA serta Emiriah Arab Bersatu.

    3. Belgium mempunyai 11 pemain liga Inggeris

    Skrip sama seperti edisi 2014, Belgium mempunyai pemain yang paling ramai daripada liga Inggeris – jika skuad England dikecualikan. Terdapat 11 pemain Belgium yang bermain di EPL termasuklah ketua pasukan, Eden Hazard. Pada edisi sebelumnya juga, Belgium diwakili oleh 12 pemain EPL, termasuk Thibaut Courtuis yang dipinjamkan ke Atletico Madrid dari Chelsea.

    4. Liga Inggeris diwakili 130 orang pemain

    Tidak menghairankan status EPL sebagai liga yang mendapat perhatian peminat bolasepak, hampir 18% pemain yang dibawa ke Russia kali ini bermain di liga Inggeris. Sebagai perbandingan, liga Sepanyol di tempat kedua dengan 81 pemain (11%) dan liga Jerman di tempat ketiga dengan 67 pemain (9%).

    Jumlah ini meningkat berbanding edisi 2014 di mana hanya 119 orang pemain (16%) mewakili liga Inggeris, mengatasi liga Itali di tempat kedua dengan 81 orang pemain (11%) dan liga Jerman di tempat ketiga dengan 78 orang pemain (11%).

    5. 4 negara tiada wakil dari liga Inggeris

    Hampir kesemua negara yang bertanding di Piala Dunia 2018 kali ini mempunyai pemain yang bermain di liga Inggeris. Namun hanya negara tuan rumah, Russia, Arab Saudi, Uruguay dan Panama sahaja tiada wakil dari liga Inggeris.

    Sebagai perbandingan, pada edisi 2014, juga ada 4 negara sahaja yang tiada wakil dari liga Inggeris, iaitu Costa Rica, Itali, Russia dan Switzerland. Untuk tahun ini, Costa Rica ada seorang pemain dari liga Inggeris, iaitu Bryan Oviedo (Sunderland), sementara 2 orang pemain Switzerland bermain di EPL, iaitu Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri.

    6. Liga Itali dan pasukan kebangsaan Itali di Piala Dunia

    Walaupun Itali tidak layak ke Piala Dunia kali ini, namun seramai 58 orang pemain (8%) bermain di liga Itali. Ini menjadikan liga Itali sebagai liga di tempat keempat selepas liga Inggeris, liga Sepanyol dan liga Jerman berdasarkan peratusan pemain yang bermain di Piala Dunia 2018.

    Sebagai perbandingan, liga Itali merupakan liga di tempat kedua berdasarkan peratusan pemain yang bermain di Piala Dunia 2014 seramai 81 orang pemain (11%). Faktor penurunan ini disebabkan Itali tidak layak ke edisi kali ini. Liga yang mempunyai wakil terbanyak di Piala Dunia 2014 namun negaranya tidak layak adalah liga Turki, iaitu seramai 26 orang pemain (4%).

    7. Manchester City menghantar pemain teramai

    Dengan 16 orang pemain, Manchester City menghantar wakil teramai ke Russia kali ini. Pecahannya adalah masing-masing 4 orang dari Brazil dan England, 2 orang dari Argentina dan Belgium, serta 1 orang dari Jerman, Perancis, Portugal dan Sepanyol.

    Sebagai perbandingan, Bayern Munich dan Manchester United menghantar wakil teramai ke Brazil iaitu seramai 14 orang pemain pada edisi 2014.

    8. Pemain Barcelona ada di setiap kumpulan

    Walaupun Barcelona hanya diwakili oleh 14 orang pemain kali ini, namun kesemua pemain berada di dalam setiap kumpulan.

    Berbanding dengan Manchester City yang diwakili 16 orang pemain, pemain mereka tiada dalam kumpulan A dan H.

    Itulah dia 8 fakta mengenai barisan pemain yang akan beraksi dalam temasya Piala Dunia edisi kali ini. Semoga 8 fakta ini akan menyemarakkan lagi semangat Piala Dunia anda!

    Nota: Artikel tentang 8 fakta ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

    Baca Juga: Luis Tejada, Pemain Dengan Harga Termudah DDi Piala Dunia

    Leave a comment

    Your email address will not be published.