• Kecoh satu Malaysia apabila pemain berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal berjaya menjaringkan gol pertama dalam siangan Major League Soccer (MLS). Rata-rata peminat mahukan Wan Kuzain untuk menyarung jersi Harimau Malaysia satu hari nanti. Akan tetapi, penulis berpendapat ada baiknya Wan Kuzain menyarung jersi Amerika Syarikat.

    Mengapa penulis berpendapat sedemikian ? Jawapannya mudah. Amerika Syarikat mempunyai peluang yang jauh lebih baik untuk beraksi dalam temasya Piala Dunia berbanding Malaysia. Bukan setakat itu saja. Banyak lagi pelbagai aspek penulis anggap negara Uncle Sam ini lebih baik berbanding Malaysia.

    Seperti contoh, tahap persaingan dalam MLS yang lebih kompetitif dan berada di tahap yang tinggi. Apabila didedahkan dengan tahap persaingan yang lebih tinggi dan kompetitif, corak dan juga mutu permainan Wan Kuzain akan semakin meningkat.

    Penulis tak boleh nak bayangkan jika Wan Kuzain bermain dalam saingan Liga Malaysia yang caca-merba seperti sekarang ini. Dengan isu gaji tidak dibayar serta pasukan yang masih lagi di takuk lama, perkara ini boleh menjejaskan perjalanan karier Wan Kuzain.

    Apa yang boleh kita lakukan di sini ialah tumpang gembira dengan pencapaian Wan Kuzain ketika ini. Tak usahlah kita meletakkan harapan yang tinggi untuk kita melihat Wan Kuzain menyarung jersi Harimau Malaysia.

    Bukanlah penulis mahu memburukkan Liga kita sendiri. Akan tetapi, memang itu kenyataannya. Kita tidak cukup bagus untuk menerima pemain seperti Wan Kuzain ini. Kita perlukan masa yang lama dan juga banyak proses perubahan jika mahu menjadi platform kepada pemain seperti Wan Kuzain untuk bermain bersama pasukan kebangsaan Malaysia.

    Akhir sekali, ada baiknya Wan Kuzain memilih untuk mewakili pasukan kebangsaan Amerika Syarikat kerana beliau akan lebih berpeluang untuk mengecapi kejayaan di peringkat yang lebih tinggi di sana.

    Teruskan kecemerlangan anda wahai anak muda. Semoga pencapaian anda menjadi pembakar semangat kepada pemain muda dalam negara untuk memiliki keinginan yang lebih tinggi dalam sukan bola sepak.

    Baca Juga: Wan Kuzain Jaringkan Gol Pertama Dalam Saingan MLS!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.