• Negeri Sembilan akan menentang pasukan PKNS FC dalam perlawanan Liga Super 2018 pada malam ini. Setelah mengutip tiga mata penuh minggu lalu, Negeri Sembilan sudah pasti mahu mengekalkan rentak kemenangan seterusnya merapatkan jurang mata dengan pasukan di atas mereka.

    Kemenangan ke atas pasukan Kelantan minggu lalu nyata menjadi suntikan moral buat para pemain Negeri Sembilan setelah mereka gagal mengutip kemenangan pada perlawanan seterusnya. Walaupun masih lagi menduduki zon penyingkiran, namun malam ini Negeri Sembilan mempunyai peluang untuk merapatkan jurang mata dengan pasukan Melaka United yang berada di tangga kesepuluh.

    Kami menjangkakan Mario Lemos tidak akan membuat pertukaran pemain dalam kesebelasan utama pasukan. Trio serangan iaitu N.Thanabalan, Angel Guirado dan Nicolas Velez akan menjadi harapan utama Negeri Sembilan untuk mencari jaringan.

    Bagi pasukan PKNS FC pula, mereka juga mahukan kemenangan selepas seri dengan pasukan Johor Darul Ta’zim pada perlawanan minggu lalu. Mereka kini berada dua mata di belakang pasukan Terengganu FC dan juga Kedah. Jika berjaya mengutip tiga mata, maka pasukan bimbingan Datuk K.Rajagopal akan melonjak ke tangga keempat.

    Pada perlawanan malam ini, berkemungkinan besar kita akan melihat kelibat pemain import baru pasukan PKNS iaitu Bruno Matos yang bermain di posisi pemain tengah menyerang. Matos dibawa masuk bagi menggantikan Jonathan Acosta yang kini dikaitkan dengan pasukan Selangor.

    Walau apa pun, penting untuk pasukan Negeri Sembilan untuk mengekalkan rentak kemenangan sekaligus mengutip tiga mata penuh malam ini. Mereka harus mengambil kesempatan di atas kekalahan pasukan Kelantan bagi menjarakkan lagi jurang mata.

    Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan Negeri Sembilan menentang PKNS FC malam ini? Mampukah Negeri Sembilan mengutip tiga mata penuh?

    Baca Juga: Kekalkan Trio Serangan Negeri Sembilan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.