• Pagi tadi penulisan masih menyambung penulisan jurnal, sambil itu saya terbaca satu posting di B/R Football yang mengatakan bahawa 49 orang pemain di Piala Dunia 2018 kali ini adalah dilahirkan di Perancis. Satu jumlah yang terlalu banyak untuk dilihat – jumlah yang boleh membentuk Perancis A dan Perancis B untuk bertanding di Russia.

    Oleh itu, saya cuba mengkaji siapa saja pemain yang dilahirkan di luar negara yang mereka wakili di Piala Dunia 2018, berdasarkan kumpulan dan negara masing-masing. Secara ringkasnya, ada 83 pemain yang dilahirkan di luar negara yang mereka wakili, iaitu sekitar 11% daripada 736 pemain.

    KUMPULAN A (Arab Saudi, Mesir, Russia, Uruguay)

    Hanya Arab Saudi sahaja diwakili oleh 23 pemain yang lahir di negara tersebut. Ketiga-tiga negara lainnya ada seorang pemain yang lahir di luar negara. Pemain pertahanan Mesir, Sam Morsy dilahirkan di England dan ayahnya seorang Mesir.

    Begitu juga pemain pertahanan Russia yang lahir di Brazil, Mario Fernandes yang mendapat kerakyatan Russia. Penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera lahir di Argentina dan berpindah ke Uruguay.

    KUMPULAN B (Iran, Maghribi, Portugal, Sepanyol)

    Hanya seorang pemain Iran sahaja lahir di luar negara, iaitu Saman Ghoddos yang dilahirkan di Sweden. Penyerang Iran ini dilahirkan dari pasangan Iran yang menetap di sana. Namun mengejutkan apabila Maghribi diwakili oleh 17 pemain yang lahir di luar Maghribi – bermakna ada 6 orang pemain sahaja lahir di Maghribi.

    Ada 8 orang lahir di Perancis (termasuk ketua pasukan, Mehdi Benatia), 5 orang lahir di Belanda, 2 orang dilahirkan di Sepanyol, dan masing-masing seorang dilahirkan di Belgium dan Kanada.

    Skuad Portugal ada 7 orang pemain yang bukan lahir di Portugal, seperti Pepe (Brazil), Raphael Guerreiro, Anthony Lopes, Adrien Silva (Perancis), Cedric Soares (Jerman), William Carvalho (Angola) dan Gelson Martins (Cape Verde). Bagi Sepanyol – jiran Iberia mereka pula, ada 3 orang pemain yang dilahirkan di luar Sepanyol, iaitu Diego Costa, Rodrigo (Brazil) dan Thiago (Itali).

    Nampak gayanya, Itali ada wakil juga di Piala Dunia kali ini….

    KUMPULAN C (Australia, Denmark, Perancis, Peru)

    Australia yang sememangnya kuat dengan pengaruh Croatia hanya mempunyai 2 orang pemain dari luar Australia, di mana Milos Degenek lahir di Croatia, sementara pemain termuda dalam edisi Piala Dunia kali ini, Daniel Arzani lahir di Iran. Denmark pula hanya mempunyai seorang pemain yang lahir di luar negara, iaitu Pione Sisto (Uganda).

    Perancis pula dibarisi oleh 3 orang pemain yang lahir di luar Perancis, seperti penjaga gol Steve Mandanda (Republik Congo), Thomas Lemar (Guadeloupe) dan pemain pertahanan muda Barcelona, Samuel Umtiti (Cameroon). Hanya Peru sahaja dibarisi oleh pemain kelahiran Peru sendiri di dalam kumpulan C.

    KUMPULAN D (Argentina, Croatia, Iceland, Nigeria)

    Argentina hanya ada seorang pemain luar, iaitu Gonzalo Higuain yang lahir di Perancis. Bagi Croatia pula, mereka ada 4 pemain yang lahir di luar Croatia, iaitu Vedran Corluka, Dejan Lovren (Bosnia & Herzegovina), Ivan Rakitic (Switzerland) dan Mateo Kovacic (Austria).

    Namun dalam kes Corluka dan Lovren, mereka sebenarnya lahir sebelum Croatia dan Bosnia berpisah dari Yugoslavia.

    Iceland pula ada 2 orang, iaitu Kari Arnason (Sweden) dan Frederik Schram (Denmark). Ayah Arnason dan ibu Schram adalah seorang warga Iceland. Dan Nigeria pula ada 4 orang pemain, iaitu William Troost-Ekong, Tyronne Ebuehi (Belanda), Leon Balogun (Jerman) dan Brian Idowu (Russia), di mana mereka mempunyai susur galur Nigeria dari orang tua mereka.

    KUMPULAN E (Brazil, Costa Rica, Serbia, Switzerland)

    Brazil sebagai juara dunia 5 kali mempunyai skuad yang lahir di Brazil semuanya. Dan bagi Costa Rica, Oscar Duarte, pemain pertahanan mereka lahir di Nicaragua, menjadi pemain kelahiran Nicaragua pertama yang bermain di Piala Dunia 4 tahun lepas.

    Serbia mempunyai 5 pemain luar, iaitu Sergej Milinković-Savić (Sepanyol), Milan Rodic, Luka Jovic (Bosnia & Herzegovina), Aleksandar Prijovic dan Milos Veljkovic (Switzerland). Namun Rodic lahir sebelum Bosnia dan Serbia berpisah dari Yugoslavia, sementara Jovic lahir selepas kedua-dua negara berpisah.

    Bagi Switzerland pula, mereka ada 8 pemain yang lahir di luar, seperti di Cameroon (3), Cape Verde (1), Macedonia (1), Ivory Coast (1, iaitu Johan Djourou) dan Kosovo (2). Jangan terkejut apabila pemain yang lahir dari Kosovo itu adalah Valon Behrami dan Xherdan Shaqiri – walaupun mereka lahir sebelum Kosovo terbentuk.

    KUMPULAN F (Jerman, Korea Selatan, Mexico, Sweden)

    Ringkas, tepat dan padat. Keempat-empat negara semuanya diwakili oleh pemain yang lahir di negara masing-masing. Ya, walaupun Jerman sebelum ini ada Lukas Podolski dan Miroslav Klose yang dilahirkan di Poland, namun mereka telah bersara dan Podolski menjadi viner di Malaysia. Oh maaf, itu Podolski yang lain ….

    KUMPULAN G (Belgium, England, Panama, Tunisia)

    Hanya Belgium dan Panama sahaja diwakili oleh pemain yang lahir di negara masing-masing – walaupun Belgium mempunyai ramai pemain keturunan asing seperti Romelu Lukaku, Adnan Januzaj, Marouane Fellaini dan Vincent Kompany. Bagi England pula, Raheem Sterling lahir di Jamaica.

    Tunisia diwakili oleh 9 orang pemain luar, di mana kesembilannya lahir di Perancis. Jadi tidak hairanlah ada ramai pemain yang lahir di Perancis.

    KUMPULAN H (Colombia, Jepun, Poland, Senegal)

    Hanya Colombia sahaja diwakili oleh 100% pemain kelahiran Colombia. Jepun ada seorang pemain yang lahir di USA, iaitu Gotoku Sakai, di mana ayahnya seorang warga Jepun dan ibunya warga Jerman. Sekurang-kurangnya ada wakil juga dari USA. Poland pula ada seorang pemain yang lahir di Brazil, iaitu Thomas Cionek yang mempunyai susur galur Poland.

    Bagi Senegal, mereka ada 9 pemain yang dilahirkan di luar Senegal, di mana Keita Balde sahaja yang dilahirkan di Sepanyol. Lainnya dilahirkan di Perancis.

    Mungkin kita akan tunggu pemain kelahiran Malaysia yang akan bermain di Piala Dunia 2022. Mungkin Wan Kuzain, kalau dia menolak untuk bermain dengan Malaysia…

    Nota: Artikel tentang 20 fakta ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

    Baca Juga: Aksi Terakhir Sang Legenda!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.