• Pasukan Perak gagal untuk merapatkan jurang dengan pasukan Pahang dan juga Johor Darul Ta’zim apabila mereka diikat seri oleh pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super 2018 semalam. Jaringan pada lewat perlawanan oleh N.Thanabalan menafikan hasrat Perak untuk mengutip tiga mata penuh.

    Kedua-dua pasukan dilihat seimbang pada separuh masa pertama apabila saling memberi asakan terhadap benteng pertahanan pasukan lawan. Namun, perlawanan ini nyata diwarnai kontroversi sejak dari mula lagi.

    Pada minit ke-38, penyerang import Perak, Gilmar dilihat menampar penjaga gol Negeri Sembilan, Ilham Amirullah setelah penjaga gol itu berjaya menangkap bola hasil daripada hantaran dari sebelah kanan.

    Satu lagi insiden ialah pada separuh masa kedua apabila pemain tengah Negeri Sembilan, Flavio Beck Junior menyepak bola ke arah Nasir Basharuddin dan bola tersebut terkena muka Nasir. Insiden ini mencetuskan sedikit ketegangan diantara pemain.

    Kontroversi dalam perlawanan ini bukan hanya melibatkan pemain sahaja namun pengadil juga dikatakan membuat beberapa keputusan yang tidak sepatutnya.

    Walaupun diwarnai dengan pelbagai insiden dan kontroversi, namun perlawanan ini masih lagi mampu untuk menghadirkan jaringan. Perak terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Gilmar yang membuat rembatan dari sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan.

    Akan tetapi, pemain yang terkenal dengan tandukan berbisa beliau iaitu N.Thanabalan berjaya menyamakan kedudukan buat pasukan Negeri Sembilan apabila menanduk masuk bola pada minit-minit akhir perlawanan.

    Keputusan seri ini membuatkan Perak gagal untuk merapatkan kedudukan dengan pasukan Pahang dan JDT yang menduduki tangga teratas Liga. Perak kini berkongsi mata dengan pasukan Pahang dengan perolehan 24 mata. Perlu diingat, Pahang akan menentang JDT pada esok. Jadi berkemungkinan besar terdapat perubahan.

    Bagi pasukan bimbingan Mario Lemos pula, mereka kini berada satu mata di hadapan pasukan Kelantan dan empat mata di belakang pasukan Kuala Lumpur yang menduduki tangga ke-10. Mereka akan menentang pasukan Perak sekali lagi pada Sabtu.

    Apa pendapa anda mengenai keputusan seri antara pasukan Negeri Sembilan yang menentang Perak semalam ? Pasukan mana yang dirugikan daripada keputusan tersebut ?

    Baca Juga: Negeri Sembilan Teruskan Perjuangan!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.