• Pasukan Melaka United sedang berada dalam prestasi terbaik mereka dalam saingan Liga ketika ini. Meskipun tewas dalam perlawanan terakhir, namun dua kemenangan sebelumnya telah berjaya menaikkan moral pasukan. Kami berpendapat perjudian yang dilakukan oleh Melaka untuk membawa Ifedayo Olesegun pada saat-saat akhir jendela perpindahan kedua Liga Malaysia nampaknya menguntungkan.

    Ketika pengurusan Melaka United mengumumkan bahawa mereka akan membawa pemain import di bahagian serangan bagi memperkukuhkan pasukan, ramai yang beranggapan Melaka akan menggugurkan penyerang import sedia ada, Yahor Zubovich. Akan tetapi, Melaka mengambil keputusan untuk mengekalkan Yahor dan melepaskan Jeon Woo-young bagi memberi laluan kepada Olesegun.

    Olesegun tidak mengambil masa yang lama untuk mencipta impak apabila beliau berjaya menjaringkan dua gol pada penampilan pertama bersama Melaka United ketika menewaskan pasukan Kuala Lumpur di Cheras.

    Olesegun sekali lagi berjaya menjaringkan dua gol ketika bertemu Kuala Lumpur. Namun pada perlawanan di Stadium Hang Jebat, Melaka tewas 4-2 kepada The City Boys.

    Bukan saja berjaya menjaringkan gol, Olesegun berjaya membentuk satu gandingan mantap di barisan serangan pasukan Melaka United yang diisi oleh beliau, Yahor, Syahrul dan Gopi.

    Selain Olesegun, beberapa pemain yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua lalu juga berjaya menunjukkan prestasi yang baik. Antaranya ialah Lee Chang-soon yang berjaya menjaringkan gol pada penampilan pertama beliau bersama Melaka dan menjadi watak utama di bahagian sayap pasukan.

    Selain Chang-soon, Faris Shah Rosli yang dibawa masuk daripada pasukan Kelantan juga berjaya menampilkan persembahan yang meyakinkan. Faris diletakkan di posisi pertahanan kanan dan setakat ini beliau menjalankan tugas dengan baik.

    Jika ketiga-tiga pemain di atas mampu untuk mengekalkan rentak cemerlang, tidak mustahil Melaka United boleh memperbaiki kedudukan mereka dalam carta Liga. Ketika ini, Melaka menduduki tangga kesepuluh dengan perbezaan lima mata di hadapan pasukan Negeri Sembilan.

    Apa pendapat anda mengenai impak yang dibawakan oleh Ifedayo Olesegun bersama Melaka United ? Adakah ianya satu perjudian yang menguntungkan ?

    Baca Juga: Nafas Baru Bagi Pasukan Melaka United

    Leave a comment

    Your email address will not be published.