• Kemenangan England 6-1 ke atas Panama memberi mereka dua kemenangan daripada dua perlawanan di Piala Dunia, dengan lapan gol dijaringkan dimana lima daripadanya oleh Harry Kane. Dengan kemenangan ini ramai yang berkata ia adalah satu kemenangan yang telah memecahkan rekod tapi rekod apa yang telah dipecahkan mereka? Bagaimana perbandingan pasukan Gareth Southgate pada tahun 2018 ini dengan generasi sebelumnya?

    Adakah ini permulaan yang terbaik di Piala Dunia buat England?

    Ya.

    Dua kemenangan dari dua perlawanan bermakna budak-budak Southgate telah menyamai skuad di Piala Dunia Sepanyol yang dipimpin Ron Greenwood pada 1982, dan ‘Generasi Emas’ Sven-Goran Eriksson di Jerman pada tahun 2006.

    Apa yang membezakan generasi 2018 adalah cara kemenangan mereka di Kumpulan G.

    Pasukan Greenwood menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan pertama mereka – gol pembukaan seawal 27 saat Bryan Robson membantu mereka menewaskan Perancis 3-1, sebelum mengalami kekalahan 2-0 di Czechoslovakia.

    Pada tahun 2006, England bermula dengan kemenangan 1-0 ke atas Paraguay dengan persembahan yang hambar- David Beckham menghasilkan satu hantaran yang cantik ke dalam kotak Paraguay dan Carlos Gamarra menanduk ke gawangnya sendiri. Lima hari kemudian, satu lagi hantaran lintang dari Beckham disambut Peter Crouch untuk gol pembukaan menentang Trinidad & Tobago, dengan Steven Gerrard menjaringkan gol kedua untuk kemenangan 2-0 berpihak kepada England.

    Dua belas tahun kemudian, mereka menjadi pasukan kelima untuk menjaringkan lima gol sebelum separuh masa dalam perlawanan Piala Dunia, dan yang pertama sejak Jerman membelasah tuan rumah Brazil 7-1 pada separuh akhir pada 2014. Satu rekod yang boleh dibanggakan untuk pasukan England tahun ini.

    Adakah ini kemenangan terbesar England di Piala Dunia?

    Ya, pencapaian terbaik mereka sebelum ini adalah 3-0.

    Pada tahun 2002 yang merupakan Piala Dunia pertama Eriksson sebagai pengurus England, pasukan itu telah mengalahkan Denmark 3-0 dalam pusingan 16 pasukan terakhir dengan gol dari Michael Owen dan Emile Heskey.

    Di Mexico ’86 – sebelum ditundukkan oleh ‘Tangan Tuhan’ Diego Maradona, pasukan Bobby Robson menjaringkan tiga gol tanpa balas dua kali – melawan Poland di peringkat kumpulan dan Paraguay di peringkat 16 pasukan terakhir.

    Kemenangan 6-1 ke atas Panama tahun ini adalah rekod Piala Dunia buat mereka.

    Adakah kemenangan ini yang terbesar buat mereka dalam sejarah?

    Tidak.

    Kemenangan terbesar “Three Lions” adalah pada bulan Februari 1882, ketika mereka mengalahkan Ireland 13-0 di Belfast.

    Dalam perlawanan antarabangsa mereka sebelum ini, mereka telah mengalahkan Luxembourg 9-0 pada tahun 1960 dan 1982, dan mengalahkan Turki 8-0 pada tahun 1987.

    Baru-baru ini pada Mac 2013, mereka mengalahkan San Marino 8-0, dengan jaringan dari Jermain Defoe (2), Alex Oxlade-Chamberlain, Ashley Young, Frank Lampard, Wayne Rooney dan Daniel Sturridge.

    Rekod kemenangan 13-0 mereka ke atas Ireland masih bertahan untuk 136 tahun!

    Adakah England mampu untuk menjaringkan gol terbanyak mereka di Piala Dunia?

    Kemungkinan.

    Kempen kali ini sudah pun menjadi kempen kedua terbaik mereka dari segi gol, terikat dengan kempen Piala Dunia mereka pada 1954 dan 1990.

    Satu-satunya kempen di mana mereka menjaringkan gol yang lebih banyak daripada 3 kempen di atas adalah apabila mereka memenangi kejohanan pada tahun 1966 dengan menjaringkan 11 gol termasuk empat di final menentang Jerman Barat untuk mencatat rekod kali pertama memenangi Piala Dunia.

    Tetapi mereka tidak begitu produktif sejak kebelakangan ini, 6 gol yang dijaringkan ketika menentang Panama sama banyak dengan jumlah gol yang dijaringkan mereka dalam tujuh perlawanan terakhir mereka di Piala Dunia.

    England menjaringkan gol hanya dua kali pada 2014 ketika mereka terkeluar di pusingan pertama di bawah Roy Hodgson, empat tahun selepas pasukan Fabio Capello menjaringkan tiga gol.

    Mereka menjaringkan enam gol ketika mencapai peringkat suku akhir pada 2002 dan 2006, dan tujuh gol di bawah Glenn Hoddle pada 1998.

    Di manakah kedudukan hatrik Harry Kane?

    Cukup tinggi – dia hanya pemain England ketiga untuk menjaringkan hatrik dalam pertandingan Piala Dunia.

    Sir Geoff Hurst, yang tidak dapat dilupakan, adalah pemain England yang pertama melakukannya. Hatriknya membawa England mencapai kemenangan pada final 1966 di Wembley.

    Dua puluh tahun kemudian Gary Lineker mengulangi prestasinya di Mexico, menjaringkan hatrik ketika melawan Poland dan mengakhiri kejohanan sebagai penjaring terbanyak.

    Lineker masih kekal dengan rekod sebagai penjaring terbanyak England di Piala Dunia. 10 gol yang berjaya dijaringkannya jauh dihadapan Geoff Hurst dan Harry Kane yang masing-masing dengan 5 gol.

    Tetapi Kane telah menyamakan kedudukan kedua pemain Jerman, Miroslav Klose dan Thomas Muller yang berjaya memenangi Kasut Emas pada kejohanan 2006 dan 2010 masing-masing.

    ANDA MUNGKIN BERMINAT: Ubi Muda Yang Mula Menyinar Di Kejohanan Piala Dunia Rusia!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.