• Pahang gagal untuk merapatkan kedudukan dengan pasukan Perak yang menghuni tempat kedua apabila diikat seri 1-1 dengan pasukan Selangor semalam. Pasukan bimbingan Dollah Salleh tersebut kini jatuh ke tangga ke-4 setelah keputusan seri semalam.

    Kegagalan pasukan Pahang untuk mengekalkan rentak konsisten telah menyebabkan mereka semakin jauh dengan persaingan untuk mahkota Liga yang kini hampir pasti dikekalkan oleh pemenang musim lalu iaitu Johor Darul Ta’zim.

    Meskipun bermula dengan baik pada awal musim dan berada rapat dengan JDT, namun keciciran mata ketika Liga memasuki persaingan di pertengahan musim menyebabkan mereka tidak mampu untuk menjadi pasukan pencabar kejuaraan Liga.

    Pasukan Perak yang ketika itu berada di bawah Pahang berjaya memintas dan menjadi pencabar kepada JDT. Namun begitu, sama seperti pasukan Pahang, Perak juga gagal untuk mengekalkan momentum dan membiarkan JDT semakin jauh di hadapan.

    Dengan peluang untuk mencabar kejuaraan dilihat sudah tertutup, kini pasukan Pahang boleh memberikan sepenuh fokus mereka untuk menamatkan saingan Liga di kedudukan tertinggi. Penulis berpendapat tempat kedua merupakan sasaran yang relevan bagi pasukan Pahang bagi menamatkan saingan Liga musim ini.

    Ketika ini, Pahang berada tiga mata dibelakang pasukan Perak yang menduduki tangga kedua dan mempunyai kutipan mata yang sama dengan pasukan Kedah yang berada di tangga ketiga. Jika Pahang mahu menamatkan saingan sebagai naib juara, mereka tidak boleh keciciran mata pada perlawanan Liga yang akan datang.

    Pahang perlu memenangi baki 5 perlawanan Liga dan mengharapkan pasukan Perak dan juga Kedah keciciran mata. Jika mereka berjaya berbuat demikian, maka Pahang akan menamatkan saingan di tangga kedua dalam dua musim berturut-turut.

    Apa pendapat anda mengenai kegagalan pasukan Pahang untuk mengekalkan rentak konsisten musim ini sekaligus gagal untuk menjadi antara pasukan yang mencabar kejuaraan Liga Super musim 2018 ?

    Dan mampukah mereka menamatkan cabaran Liga Super musim ini di tangga kedua ? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

    Baca Juga: Lupakan Seketika Kemenangan Minggu Lalu

    Leave a comment

    Your email address will not be published.