Sumber Gambar: Stadium Astro

Lebih dari setengah juta ringgit gaji pemain belum dilunaskan oleh tujuh pasukan Liga Malaysia dengan lebih 50 kes masih tertunggak di Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Perkara ini amat menyedihkan kerana bukan sahaja membabitkan tunggakan gaji bagi tahun 2018 malah beberapa tunggakan gaji yang sebelumnya gagal untuk dilunaskan kerana sikap acuh tak acuh persatuan.

Perkara ini didedahkan oleh Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya yang ternyata amat kecewa dengan situasi ini. Rezal juga mengatakan ini adalah isu serius kerana ianya membabitkan periuk nasi pemain bolasepak kita. Malah, sebagai persatuan kelab bolasepak yang profesional, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.

Rezal mengatakan, untuk tahun ini sahaja, sebanyak 35 kes aduan tunggakan gaji yang diterima dan keseluruhan jumlah kes masih ada 50 kes yang masih belum diselesaikan oleh Jawatankuasa Status FAM termasuk kes-kes sebelumnya yang berjumlah kira-kira RM500,000. Menurut Rezal lagi, sebagai persatuan yang mewakili pemain, PFAM berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan semula hak para pemain, namun terbatas dek kerana ‘orang tengah’ antara kedua-dua pihak sahaja.

Kuasa menentukan tindakan terhadap sesuatu kes terletak sepenuhnya kepada FAM termasuk dalam memastikan keputusan itu dipatuhi oleh pihak yang dipertanggungjawabkan. Walaupun tindakan hukuman yang berat telah dikeluarkan FAM untuk mengatasi isu ini, masih ada sahaja lagi persatuan kelab yang berdegil. Rezal juga berharap bahawa FAM akan lebih bertegas dengan mengenakan hukuman lebih berat ke atas persatuan berkenaan bagi mengelak persatuan lain turut mengambil kesempatan.

Rezal juga berharap dengan adanya Presiden FAM yang baru, Datuk Hamidin Mohd Amin yang akan bakal disahkan dalam kongres yang berlangsung esok mampu memberikan perhatian yang serius terhadap perkara sebegini. Bukan sahaja menjejaskan periuk nasi pemain, malah nama pasukan juga turut tercemar dan membawa kepada saingan Liga kita tidak kompetitif. Diharapkan untuk saingan tahun hadapan, tidak ada lagi isu-isu sebegini.

Sumber: Berita Harian

BACA JUGA: (Piala Dunia) Bintang Brazil, Siapa Gaji Paling Tinggi?

Leave a Reply