Sumber Gambar: BH Online

Seperti yang kita tahu, kedua-dua pasukan ini bila bertemu pasti ada sahaja kejadian yang tidak menyenangkan mata. Kejayaan skuad Harimau Muda negara (B-19) melangkah ke perlawanan akhir piala Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 dicemari dengan insiden keganasan para penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati akibat dari kekalahan pasukan tuan rumah pada pertemuan separuh akhir di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam.

Lebih 26,000 penyokong Indonesia membanjiri stadium itu semalam untuk menyaksikan perlawanan panas antara kedua negara ini. Namun ternyata pasukan Indonesia yang digelar sebagai Garuda Muda tewas di tangan pasukan Harimau Muda kita menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1 dalam masa tambahan. Keputusan memihak kepada Harimau Muda dengan hasil 3-2.

Jurulatih Harimau Muda, Bojan Hodak mendakwa, pemain dan pegawai pasukan negara berdepan dengan detik yang mencemaskan setelah tamatnya perlawanan tersebut. Para pemain Harimau Muda dibaling dengan botol minuman dan juga batu ketika para pemain Harimau Muda ingin memasuki bilik persalinan setelah perlawanan tamat. Berikut video di bawah:

“Mereka (penyokong Indonesia) membaling botol minuman dan batu ke arah kami, mujur kami sempat lari keluar meninggalkan padang dengan segera. Kami bernasib baik tiada yang cedera,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP yang diambil dari Berita Harian. “Saya tidak tahu sama ada pihak pengurusan (Persatuan Bolasepak Malaysia) ada membuat aduan kepada pihak tuan rumah dan AFF. Memang kecewa perkara seperti ini masih berlaku.”

Kejayaan bimbingan Bojan Hodak menempah pertemuan dengan pasukan Myanmar dalam perlawanan akhir Sabtu ini. Pengendali dari Croatia itu melihat peluang pasukan untuk menang adalah 50-50 walaupun telah menewaskan pasukan Myanmar sebelum ini dalam saingan kumpulan B. “Ada beberapa pemain mengalami kecederaan dan saya perlu nilai situasi ini sebelum membuat keputusan siapa yang akan bermain di final,” kata Hodak.

Ini adalah kali keenam pasukan Harimau Muda layak ke final setelah hanya bergelar naib juara pada tahun 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017. Syabas buat pasukan muda negara kita! Diharapkan selepas ini bakat yang ada mampu dibawa ke dalam skuad utama kebangsaan kita untuk ke peringkat lebih tinggi lagi. Kami ucapkan semoga berjaya dalam edisi Piala AFF kali ini. Abaikan provokasi luar, fokus serta disiplin dalam setiap perlawanan wahai HARIMAU MUDA ku!

Sumber: Berita Harian.

BACA JUGA: Harimau Muda Bedil Garuda Muda

Leave a Reply