Sumber Gambar: Goal.com

Setelah kejadian yang amat dikesali berlaku dalam perlawanan separuh akhir Piala AFF bawah 19 tahun semalam diantara pasukan tuan rumah, Indonesia dan juga Malaysia, pihak tuan rumah Indonesia berjanji akan memperketatkan kawalan keselamatan kepada pasukan Harimau Muda negara. Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan jaminan tersebut.

Beliau tidak mahu insiden keganasan seperti semalam berulang kembali di perlawanan akhir antara pasukan Malaysia menentang pasukan Myanmar pada hari esok. Beliau telah menghubungi Naib Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan selaku pengurus pasukan B-19 kebangsaan dan juga pegawai yang bertugas di Surabaya, Indonesia bagi mendapatkan maklumat tentang insiden yang berlaku tersebut.

Berdasarkan maklumat yang diterima olehnya, terdapat penyokong Indonesia membaling botol dan batu dari tempat duduk penonton ke arah pemain B-19 kebangsaan selepas perlawanan iaitu ketika mereka hendak masuk ke terowong menuju ke bilik persalinan. Insiden ini jelas menunjukkan bahawa tiada sikap hormat terhadap tetamu yang bermain di tuan rumah.

Insiden ini tercetus berikutan pasukan Indonesia tidak berpuas hati apabila pasukan Garuda Muda mereka tewas dalam penentuan sepakan penalti malam semalam setelah terikat seri 1-1 dalam masa tambahan. Garuda Muda tewas dengan keputusan 2-3 memihak kepada pasukan Malaysia. Jelas Hamidin, pihak tuan rumah telah memohon maaf atas insiden yang berlaku. Namun pihak FAM masih menunggu laporan sebelum tindakan susulan dibuat.

Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Joko Driyono telah berjanji untuk meningkatkan tahap keselamatan kepada pemain Harimau Muda negara ketika menjalani sesi latihan dan juga ketika di berada di hotel penginapan. FAM akan menunggu laporan daripada Match Commissioner (MC) dan pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya berhubung insiden ini.

Buat para penyokong di Malaysia, janganlah kita saling beradu domba atas insiden yang telah berlaku. Jadikan kita sebagai penyokong yang profesional, kerana penyokong adalah salah satu identiti bolasepak negara kita. Saling menghormati satu dengan lain dan bersorak dengan cara yang betul sebagai peminat bolasepak. Akhir kata, diharapkan insiden-insiden seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan, baik skuad muda mahupun skuad utama. Be a Professional Team, Be a Professional Supporter, Respect Each Others!

Sumber Rujukan: Utusan Malaysia

BACA JUGA: [Piala Dunia] Penyokong Harimau Malaya Pun Pernah Buat!

Leave a Reply