Sumber Gambar: @ultrasel

Pasukan Selangor bakal dikenakan tindakan pengelola Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL) di atas kelakuan penyokong mereka ketika perlawanan Klang Valley Derby yang dianggap memberi kesan buruk terhadap imej dan reputasi Liga Malaysia.

Penyokong tegar Selangor, Ultrasel atau Ultras Selangor merentangkan kain rentang dengan tulisan MFL = Circus ? ketika perlawanan di Cheras pada Ahad lalu. Kelakuan Ultrasel ini lantas mendapat perhatian daripada MFL dan pengelola Liga Malaysia ini menjelaskan tentang kesan buruk kain rentang tersebut.

MFL menyatakan bahawa kain rentang tersebut boleh memberi kesan buruk kepada keyakinan penaja, pelabur dan penyiar. Tambah MFL lagi, jika ketiga-tiga pihak ini mengurangkan jumlah tajaan mereka, maka pengagihan dana kepada seluruh pasukan yang bertanding di Liga Malaysia akan turut berkurang dimana pasukan Liga Super termasuk Selangor telah menikmati pendapatan sebanyak RM3 Juta tahun ini.

Untuk mempertahankan pendapatan pasukan nilai pelaburan penaja dan penyiar, Lembaga Pengarah MFL akan membuat keputusan atas tindakan yang akan diambil terhadap pasukan Selangor. Perkara ini juga telah dihantar ke FAM untuk pertimbangan dan tindakan mengikut Kod Tatatertib FAM. Antara hukuman yang boleh diambil termasuk denda dan sekatan terhadap venue perlawanan.

Pihak Ultrasel juga telah menjawab terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka. Sebagai penyokong, mereka hanya mahu bertanya kepada pihak MFL sama ada mereka ini boleh digelar sebagai sarkis atau tidak.

Selain itu, Ultrasel juga bertanyakan tentang perubahan jadual liga yang dibuat tanpa ada alasan yang kukuh serta siapa yang terlibat dalam perubahan jadual tersebut.

Walau apa pun, MFL belum lagi memutuskan hukuman apa yang akan dikenakan ke atas pasukan Selangor di atas tingkah-laku penyokong ketika perlawanan menentang jiran mereka iaitu Kuala Lumpur di Stadium KLFA pada Ahad lalu.

Apa pendapat anda mengenai keputusan Malaysia Football League (MFL) yang mahu mengenakan tindakan ke atas pasukan Selangor di atas kelakuan penyokong mereka pada Ahad lalu ? Hukuman jenis apakah yang bakal dikenakan ?

Baca Juga: