Sumber Gambar: MFL

Mimpi buruk pasukan Selangor dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Super berakhir apabila mereka berjaya menewaskan pasukan PKNP FC di Stadium Perak dengan keputusan 2-0 semalam.

Selangor memulakan perlawanan semalam dengan agresif apabila mereka mengasak kubu pertahanan PKNP bermula dari minit-minit pertama permainan. Namun, percubaan Rufino Segovia berjaya dinafikan oleh penjaga gol PKNP, Asyraaf Omar.

Tujuh minit sebelum separuh masa pertama tamat, Selangor membuka tirai jaringan setelah Sean Eugene Selvaraj membuat gerakan menarik dari sebelah kiri dan hantaran beliau berjaya disudahkan oleh Syahmi Safari.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan namun berbaki sepuluh minit sebelum perlawanan tamat, Amri Yahyah menyempurnakan hantaran Rufino Segovia bagi memberikan gol kedua bagi Selangor sekaligus tiga mata penuh buat anak-anak buah Nazliazmi Nasir.

Kemenangan 2-0 ini nyata menjadi kebangkitan yang sangat diperlukan oleh pasukan Selangor setelah mereka gagal untuk meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir Liga. Terutamanya setelah mereka tewas dalam perlawanan akhir Piala FA kepada Pahang dimana Selangor tewas tiga perlawanan dan hanya mampu mengutip satu keputusan seri.

Dengan kemenangan semalam, Selangor merampas kedudukan di tangga kelapan daripada pasukan PKNP FC dan lawan mereka kini jatuh ke kedudukan ke sepuluh. Namun, tiada apa yang perlu dirisaukan oleh kedua-dua pasukan kerana mereka telah mengekalkan tempat mereka dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Pada perlawanan terakhir Liga, Selangor akan menerima kunjungan Terengganu FC di Cheras pada Ahad manakala PKNP FC akan berkunjun ke Darul Aman bagi menghadapi pasukan Kedah. Jika kedua-dua pasukan mahu menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga kelapan, mereka wajib untuk mengutip tiga mata penuh sambil mengharapkan pasukan lain keciciran mata.

Apa pendapat anda mengenai kemarau kemenangan pasukan Selangor dalam tujuh perlawanan yang berakhir semalam ? Mampukah mereka menamatkan kempen Liga Super musim 2018 dengan kemenangan sekaligus menduduki tangga kelapan ?

Baca Juga: Mampukah Harimau Muda Melepasi Peringkat Kumpulan ?

Leave a Reply