• Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan pasrah dengan nasib pasukan beliau dalam saingan Liga Super musim ini. Kelantan berdepan misi sukar pada esok apabila mereka menentang Johor Darul Ta’zim di Larkin.

    Kelantan ketika ini menduduki tangga tercorot dalam carta Liga selepas Negeri Sembilan berjaya mencatat kemenangan ke atas Selangor semalam. Kedua-dua pasukan kini terikat dengan 15 mata dan wajib menang pada dua perlawanan terakhir untuk sekurang-kurangnya kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan.

    Bukan setakat menang sahaja, Kelantan perlu mengharapkan pasukan lain di atas mereka seperti pasukan Kuala Lumpur dan Selangor untuk keciciran mata. Kelantan kini dibezakan enam mata di belakang dua pasukan Lembah Klang ini.

    Setelah menghadapi JDT pada esok, tugas berat menanti pasukan Kelantan apabila mereka akan menentang jiran pantai timur mereka iaitu pasukan Terengganu FC dan Pahang pada dua perlawanan terakhir Liga Super.

    Musim 2018 sememangnya musim yang boleh dikategorikan sebagai malapetaka bagi pasukan dan juga peminat pasukan Kelantan. Pertukaran ketua jurulatih sebanyak tiga kali dan pengguguran pemain senior menjadi faktor utama mengapa mereka gagal untuk memberikan saingan dan menduduki zon penyingkiran.

    Selain pasrah, Bibi Ramjani juga sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku dan beliau telahpun berjumpa dengan para pemain supaya mereka dapat memberikan yang terbaik pada baki perlawanan Liga.

    Tambah Bibi, nasib pasukan ketika ini terletak di tangan pemain dan mereka perlu menunjukkan persembahan yang baik jika mahu kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.

    Jika berjaya mengutip keputusan positif pada perlawanan esok, maka ianya akan memberikan harapan baru buat pasukan Kelantan dalam usaha mereka untuk kekal. Apa yang pasti, para pemain perlu memberikan sepenuh fokus dan perhatian mereka kerana pemain JDT tidak akan memberikan ruang buat Kelantan untuk menjaringkan gol kerana mereka tidak mahu majlis mengangkat trofi Liga Super malam esok dicemari dengan kekalahan atau keputusan seri.

    Baca Juga: Tak Usah Tuding Jari Ke Pihak Lain!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.