• Negeri Sembilan akan menentang pasukan Melaka United di Paroi malam ini dalam misi mengutip tiga mata penuh bagi membolehkan mereka untuk beraksi di pentas Piala Malaysia edisi kali ini.

    Negeri Sembilan sudahpun tersingkir ke saingan Liga Perdana musim hadapan bersama-sama pasukan Kelantan setelah kedua-dua pasukan gagal untuk keluar dari zon penyingkiran. Jadi, satu-satunya perjuangan yang masih lagi tersisa ialah beraksi di pentas Piala Malaysia.

    Selain mahu mengesahkan tempat mereka dalam saingan Piala Malaysia, Negeri Sembilan dilihat mahu membalas dendam di atas kekalahan pada perlawanan pertama di Stadium Hang Jebat pada awal musim ini. Anak-anak buah Mario Lemos juga mahu memastikan Naning Derby malam ini menjadi penamat yang manis untuk mengakhiri musim 2018 yang sangat berliku dan penuh dengan ranjau bagi pasukan Negeri Sembilan.

    Jika melihat kepada prestasi semasa, Negeri Sembilan mampu untuk mencatat keputusan positif malam ini kerana corak permainan yang digunakan menjadi dalam dua perlawanan terakhir Liga. Mereka berjaya menewaskan Selangor dan hanya tewas tipis kepada pasukan Kuala Lumpur dimana mereka sedikit tidak bernasib baik apabila pemain penting, Nicolas Velez terpaksa dikeluarkan pada saat-saat akhir.

    Bagi pasukan Melaka United pula, mereka mahukan kemenangan kedua dalam Naning Derby ini sekaligus membuktikan bahawa mereka adalah pasukan terbaik diantara kedua-duanya pada saingan Liga Super musim ini.

    Apa pun keputusan yang bakal diraih malam ini, Melaka akan menamatkan saingan Liga Super musim 2018 di tangga ketujuh, satu anak tangga lebih baik berbanding pencapaian mereka pada saingan musim lalu.

    Walau apa pun, Naning Derby sudah pasti akan menyajikan satu persembahan yang menarik kerana sejarah telah membuktikan jika Negeri Sembilan bertemu Melaka United, sudah pasti perlawanan tersebut akan menjadi satu perlawanan yang istimewa.

    Tambahan pula kedua-dua pasukan mempunyai misi yang tersendiri bagi mencapai kedudukan terbaik.

    Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan Negeri Sembilan menentang Melaka United malam ini? Mampukah Negeri Sembilan mencatat kemenangan sekaligus bakal beraksi di pentas Piala Malaysia edisi kali ini?

    Baca Juga: 8 Pasukan Meriahkan Challenge Cup Edisi Pertama

    Leave a comment

    Your email address will not be published.