• Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan situasi pasukan Kelantan ketika ini. Setelah tersingkir ke saingan Liga Perdana musim hadapan, Kelantan kini berdepan dengan masalah hutang lapuk yang kembali menghantui mereka.

    Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan hutang lapuk yang ditinggalkan oleh pengurusan terdahulu berjumlah jutaan ringgit dan jika tidak diselesaikan dalam jangka masa yang telah ditetapkan, maka pasukan Kelantan berkemungkinan besar akan diturunkan ke sainga Liga FAM musim hadapan.

    Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah memberikan tempoh sehingga hujung bulan depan bagi KAFA menyelesaikan tunggakan hutang kepada dua bekas pemain dan juga seorang bekas jurulatih kecergasan pasukan. Dua bekas pemain yang dimaksudkan ialah Jonathan Lucca dan Dramane Traore serta bekas jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic.

    Tambah Bibi Ramjani, KAFA kini sedang bekerja keras untuk menyelesaikan pembayaran hutang tersebut mengikut jangka masa yang telah ditetapkan oleh FIFA bagi mengelakkan daripada dikenakan hukuman lebih berat pada musim hadapan.

    Apa yang pasti, Bibi Ramjani dan juga KAFA sendiri perlu segera mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan ini agar ianya tidak memberi masalah kepada pasukan Kelantan pada musim hadapan.

    Kelalaian pengurusan sebelum ini nyata telah membawa padah buat pasukan Kelantan. Pola perbelanjaan yang melebihi kemampuan serta mengganti pemain import pada pertengahan musim yang dilakukan sebelum ini menjadi faktor utama mengapa mereka terjebak dalam permasalahan ini.

    Akhir sekali, Bibi Ramjani juga berharap penyokong Kelantan dapat menerima hakikat mengenai kedudukan pasukan ketika ini dan tidak menyalahkan keputusan yang dibuat oleh KAFA.

    Baca Juga: “Berterima Kasihlah Kepada Bibi FC!” Bibi Ramjani

    Leave a comment

    Your email address will not be published.