• Penyerang import pasukan Melaka United, Ifedayo Olesegun menambahkan duka pasukan Negeri Sembilan apabila dua jaringan beliau membolehkan Melaka mencatat kemenangan dalam Naning Derby yang berlangsung di Stadium Hang Jebat.

    Separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan apabila kedua-dua pasukan gagal untuk menyempurnakan peluang yang terhidang. Meskipun Melaka dilihat pasukan yang lebih baik dari segi menyerang dan lebih menguasai perlawanan, namun mereka gagal untuk memecahkan benteng pertahanan Negeri Sembilan.

    Memasuki separuh masa kedua, barulah ada jaringan dihasilkan apabila Ifedayo berjaya membuat tandukkan sekaligus menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Kaharuddin Abdul Rahman.

    Para pemain Melaka terus melakukan asakan ke kubu pertahanan pasukan lawan dan kerja keras mereka berbaloi apabila Nasriq Baharom tertampan bola ke gawang sendiri semasa cuba mengeluarkan bola hasil daripada percubaan Khair Jefri Jones.

    Berselang seminit kemudian, Ifedayo melakukan rembatan kencang sekaligus memberikan gol ketiga bagi Melaka United dan gol kedua peribadi beliau pada perlawanan tersebut. Negeri Sembilan berjaya menjaringkan gol sagu hati menerusi rembatan Flavio Beck Junior daripada luar kotak penalti.

    Tiga mata penuh yang berjaya diraih meletakkan Melaka United selesa menghuni tangga ketujuh dengan kutipan 31 mata, satu mata dibelakang pasukan Kedah yang akan menerima kunjungan PKNP FC di Darul Aman.

    Namun, situasi berbeza bagi pasukan Negeri Sembilan. Kekalahan kepada Melaka seakan menambah duka terhadap pasukan yang telahpun tersingkir ke saingan Liga Perdana musim hadapan.

    Kekalahan semalam juga berkemungkinan besar membuatkan Negeri Sembilan kehilangan slot untuk beraksi pada kempen Piala Malaysia edisi musim ini andai kata Kelantan berjaya menewaskan Pahang di Kota Bharu pada Sabtu. Jika perkara tersebut berlaku, maka pasukan bimbingan Mario Lemos ini akan beraksi di kempen Challenge Cup.

    Apa pendapat anda mengenai kekalahan pasukan Negeri Sembilan di tangan seteru Naning mereka iaitu Melaka United di Paroi sebentar tadi? Adakah Negeri Sembilan bakal kehilangan slot untuk beraksi pada kempen Piala Malaysia edisi kali ini?

    Baca Juga: Hanya Kemenangan Ke Pentas Piala Malaysia

    Leave a comment

    Your email address will not be published.