• Siapa yang tidak kenal dengan sebuah kelab yang pernah mencipta sensasi dalam saingan Liga Malaysia pada musim 2003 lalu. Ya di sini kami maksudkan pasukan berstatus kelab pertama yang memenangi Piala Malaysia, Selangor MPPJ FC.

    Selepas mencipta sejarah sebagai kelab pertama memenangi Piala Malaysia, tahun berikutnya pasukan bimbingan Dollah Salleh ketika itu menerima kunjungan pasukan yang baru saja dipromosi ke saingan Liga Perdana Inggeris, Norwich City.

    Seramai 80,000 penonton membajiri Stadium KLFA bagi menyaksikan perlawanan antara kelab Liga Malaysia menentang pasukan yang ditaja oleh pengeluar kereta tempatan iaitu Proton. Norwich membawa beberapa pemain bintang mereka seperti David Bentley yang ketika itu dipinjamkan dari Arsenal.

    Selangor MPPJ memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mereka membuka tirai jaringan menerusi pemain import Argentina, Bruno Martelotto ketika perlawanan baru berusia 58 saat.

    Sebelum wisel separuh pertama dibunyikan, penyerang Norwich, Leon McKenzie berjaya menyamakan kedudukan setelah benteng pertahanan MPPJ memberikan terlalu banyak ruang untuk pemain Norwich mengasak kubu mereka.

    Memasuki separuh masa kedua, barisan serangan Norwich meneruskan asakan ke kubu pertahanan MPPJ dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh masa seminit menerusi Jim Brennan dan Ryan Jarvis.

    Ketinggalan dengan jaringan 3-1 membuatkan para pemain MPPJ menggandakan asakan mereka bagi merapatkan kedudukan. Usaha keras pemain MPPJ akhirnya membuahkan hasil apabila Sasa Brenezac menanduk masuk bola hasil daripada hantaran lintang Kamarulzaman Yob pada minit ke-72.

    MPPJ terus memberikan asakan namun barisan pertahanan Norwich City teguh bertahan dan meraih kemenangan tipis ke atas juara Piala Malaysia 2003 ini.

    Satu perlawanan yang sememangnya memberikan satu kebanggaan dan kepuasan yang tersendiri kepada peminat bola sepak negara ketika itu. Sebuah kelab kerdil dari Malaysia mampu untuk memberikan cabaran kepada kelab dari Liga Perdana Inggeris.

    Apa memori yang masih lagi berlegar di fikiran anda jika berbincang mengenai pasukan Selangor MPPJ FC ? Mampukah mereka membuat kemunculan semula pada masa akan datang ?

    Baca Juga: Liga Super Dan Liga Perdana: Sejarah Penubuhan (Part 1)

    Baca Juga: Liga Super Dan Liga Perdana: Sejarah Penubuhan (Part2)

    Leave a comment

    Your email address will not be published.