• Bintang baharu Juventus, Cristiano Ronaldo dijangka akan turun beraksi buat kali pertama dalam saingan Serie A menentang Chievo Verona pada 19 Ogos ini setelah The Old Lady menurunkan Ronaldo dalam perlawanan tradisi pramusim menentang skuad Juventus B di Villar Perosa, bandar kecil yang terletak 40 kilometer dari barat bandar Turin.

    Penampilan pertama bintang bernilai 100juta Euro (RM 467 Juta) itu dikhabarkan telahpun menarik perhatian pengunjung luar Villar Perosa dan lebih 5,000 tiket berjaya dijual. Angka yang dilaporkan itu telahpun melebihi populasi di Villar Perosa yang mempunyai populasi sekitar 4,100 orang sahaja.

    Aksi pertama bintang bola sepak dunia itu telah mencetuskan fenomena di perkampungan kecil itu dan ramai pihak yang terdesak untuk melihat dengan lebih dekat idola terbaru mereka. Villar Perosa yang terletak di kaki banjaran Alps adalah estet besar bagi pemilik Juventus iaitu keluarga Agnelli sejak 1923 yang juga merupakan pengasas kereta ikonik itali, Fiat.

    Untuk perlawanan menentang Chievo, Ronaldo berkemungkinan besar bakal digandingkan dengan penyerang Argentina, Paulo Dybala di bahagian serangan. Manakala untuk satu lagi posisi bakal diisi oleh finalis Piala Dunia 2018, Mario Mandzukic, Juan Cuadrado atau pemain sayap lincah dari Brazil, Douglas Costa.

    Ketibaan Ronaldo dalam kancah Serie A dijangka bakal memberi nafas baru kepada saingan tertinggi dalam piramid Liga bola sepak Itali itu. Sebelum ini, Serie A sering dipandang dingin oleh peminat bola sepak kerana adanya saingan Liga Perdana Inggeris dan La Liga. Namun, dengan adanya Ronaldo, perkara tersebut dijangka bakal berubah.

    Bekas pemain termahal dunia ini menyertai The Old Lady dari Real Madrid sejurus selepas kempen Piala Dunia 2018 tamat dan Cristiano Ronaldo dilaporkan telahpun menyertai rakan sepasukannya semasa sesi latihan buat kali pertama pada minggu ini.

    Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Emeir Hayqal. Jika anda mempunyai artikel yang ingin dikongsikan, hubungi kami menerusi laman media sosial Inikan Bola.

    Baca Juga: 10 Pemain Yang Boleh Menggantikan Cristiano Ronaldo Di Real Madrid

    Leave a comment

    Your email address will not be published.