• Nasib ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff akan ditentukan pada Jumaat ini sama ada beliau akan dikekalkan, direhatkan ataupun dipecat daripada jawatan beliau.

    Menurut laporan Berita Harian, Naib Presiden KFA, Khamal Idris Ali, pihak pengurusan KFA akan memutuskan kedudukan ketua jurulatih berkenaan pada satu mesyuarat yang akan diadakan di Alor Setar pada Jumaat ini termasuk membincangkan hal-hal semasa dan perancangan persatuan itu.

    “Kita akan menentukan kedudukan Nidzam selaku pengendali utama pasukan serta fokus terbaik bagi pasukan yang kini berjuang untuk saingan Piala Malaysia musim ini.”

    “Buat masa ini kita tak dapat memaklumkan apa apa jawapan selain menunggu keputusan yang akan ditentukan pada mesyuarat hari Jumaat ini.”

    Kelibat Nidzam tidak kelihatan ketika sesi latihan pasukan Kedah yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), Alor Setar sejak Isnin lalu. Perkara ini menjadi tanda tanya di kalangan peminat sama ada Nidzam masih lagi ketua jurulatih pasukan.

    Dengan ketiadaan Nidzam, latihan harian pasukan Kedah yang dijalankan di padang latihan SSAH sejak Isnin lalu dikendalikan oleh Penolong Ketua Jurulatih, Azzmi Ab Aziz.

    Tambah Khamal Idris, KFA juga akan memutuskan tentang nasib penyerang import pasukan, Paulo Rangel yang enggan untuk memanaskan badan ketika Kedah dibelasah Johor Darul Ta’zim di Larkin minggu lalu.

    “Buat masa ini pihak KFA belum membuat apa-apa pengumuman berkaitan keputusan isu yang dikaitkan ini, namun saya yakin KFA akan memutuskan perkara berkenaan selepas membuat penilaian dengan sebaik mungkin.” kata beliau.

    Prestasi pasukan Kedah sejak akhir-akhir ini semakin merosot dimana mereka masih lagi gagal untuk meraih sebarang kemenangan dalam saingan Piala Malaysia 2018. Sesuatu perlu dilakukan oleh KFA agar perkara ini tidak berlanjutan sehingga menjejaskan peluang Kedah dalam saingan Piala Malaysia.

    Apa pendapat anda mengenai nasib Nidzam Adzha Yusoff bersama pasukan Kedah ? Adakah beliau bakal dikekalkan sehingga sainggan Piala Malaysia tamat ? Atau beliau bakal digantikan dengan jurulatih lain ?

    Baca Juga: Malaysia ? Yes Fiir Sure! – Liridon Krasniqi

    Leave a comment

    Your email address will not be published.