• Kemenangan pasukan bawah 23 tahun negara ke atas juara bertahan, Korea Selatan semalam sememangnya tidak dijangka memandangkan Korea mempunyai barisan pemain yang jauh lebih baik. Di sini, barisan pertahanan negara wajar untuk diberikan pujian di atas kerja keras mereka pada perlawanan semalam.

    Barisan pertahanan negara diuji dengan percubaan yang bertubi-tubi daripada pemain Korea setelah Safawi Rasid membuka tirai jaringan pada minit ke-5. Penjaga gol negara, Haziq Nadzli berjaya menafikan percubaan pemain Red Bul Salzburg, Hwang Hee-chan sejurus Safawi menjaringkan gol pertama pasukan negara.

    Memasuki separuh masa kedua, Korea Selatan memasukkan pemain bintang mereka, Son Heung-min bagi menambah sengat di barisan serangan sekaligus memberikan ancaman kepada kubu pertahanan lawan. Dan kemasukkan pemain sayap Tottenham Hotspur ini membuatkan barisan pertahanan negara terpaksa menggandakan usaha mereka untuk menyekat kemaraan barisan serangan Korea Selatan.

    Akan tetapi, meskipun barisan serangan lawan diketuai oleh Son Heung-min, Irfan Zakaria dan rakan-rakan tenang untuk menyerap segala asakan yang diberikan oleh pemain Korea Selatan. Meskipun diasak secara bertubi-tubi dan bagaikan tiada belas kasihan, barisan pertahanan negara berjaya menafikan percubaan pemain lawan.

    Walaupun Korea berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-86, namun pemain negara tidak hilang fokus dan berjaya mempertahankan kelebihan yang dimiliki sekaligus memberikan kemenangan kedua bagi Malaysia dalam saingan peringkat kumpulan E.

    Kecekalan benteng pertahanan negara wajar diberikan pujian kerana bukan mudah untuk mempertahankan kelebihan yang dimiliki kerana pihak lawan mempunyai barisan pemain yang lebih berkualiti dan mereka tidak henti-henti melancarkan gerakan serangan.

    Jika Haziq, Dominic, Irfan dan Adam mampu untuk mengekalkan prestasi semasa mereka, tidak mustahil Malaysia mampu untuk menewaskan Bahrain dan menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas. Pasukan negara juga mampu untuk mencipta sesuatu pada peringkat 16 pasukan terakhir dengan barisan pertahanan yang mantap.

    Apa pendapat anda mengenai kecemerlangan benteng pertahanan negara ketika menewaskan pasukan Korea Selatan semalam? Mampukah mereka mengekalkan momentum menjelang perlawanan menentang Bahrain pada 20 Ogos ini?

    Baca Juga: Sukan Asia 2018: Malaysia Meratah Kimchi!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.