• Kekalahan pasukan bawah 23 tahun negara di tangan pasukan Jepun pada perlawanan peringkat 16 pasukan terakhir Sukan Asia 2018 masih lagi hangat diperkatakan. Di sini, kami ada satu persoalan yang bermain di minda. Adakah barisan tengah pasukan negara akan lebih baik jika diisi oleh pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih ?

    Azam menjadi nadi utama pasukan bawah 23 tahun negara ketika temasya Sukan SEA 2017 dimana Malaysia memenangi pingat perak dan kejohanan AFC Bawah 23 Tahun yang berlangsung di China pada awal tahun ini.

    Kualiti hantaran serta kawalan bola yang dimiliki oleh Azam menjadi aset penting pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee dalam menewaskan beberapa pasukan ternama di rantau Asia dan berjaya mara sehingga ke saingan tertinggi.

    Menjelang Sukan Asia, nama Azam sekali lagi disebut sebagai pemain yang akan mengawal bahagian tengah pasukan Malaysia. Namun, perkara tersebut tidak menjadi kenyataan. Ini selepas pemain tengah Pahang ini gagal untuk melapor diri untuk menyertai kem latihan pasukan.

    Dengan ketiadaan Azam ditambah dengan Syamer Kutty yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan, Datuk Ong membawa tiga pemain iaitu Baddrol Bakhtiar, Syahmi Safari dan pemain dari skuad bawah 19 tahun negara, Nik Akif Syahiran.

    Ketiga-tiga pemain ini beraksi dengan baik pada empat perlawanan yang melibatkan pasukan negara namun masih lagi terdapat beberapa kelemahan ketara.

    Nik Akif dilihat sedikit lambat untuk menyesuaikan diri dengan tempo perlawanan dan tiada hantaran bola yang berbahaya kepada pemain serangan daripada bahagian tengah pasukan negara.

    Apa yang pasti, ketiadaan Azam sedikit memberi kesan kepada corak permainan pasukan bawah 23 tahun negara pada temasya Sukan Asia 2018. Namun, pujian harus diberikan pemain sedia ada kerana menampilkan aksi yang baik dan mampu membawa Malaysia sehingga ke peringkat 16 pasukan terakhir.

    Apa pendapat anda mengenai persembahan bahagian tengah pasukan bawah 23 tahun negara pada temasya Sukan Asia 2018 ? Adakah prestasi bahagian tengah ini boleh ditingkatkan lagi jika diisi oleh Nor Azam Azih ?

    Baca Juga: Mereka Layak Wakili Pasukan Senior – Coach Sathita

    Leave a comment

    Your email address will not be published.