• Ketua jurulatih pasukan PKNP FC, Abu Bakar Fadzim rela jika penyerang beliau, Shahrel Fikri Fauzi kekal bersama Nakhon Ratchasima FC pada musim hadapan. Shahrel ketika ini sedang berada dalam tempoh pinjaman selama lima bulan bersama Nakhon.

    Menurut laporan Berita Harian, Abu Bakar menyerahkan sepenuhnya kepada Shahrel sama ada beliau mahu terus beraksi di luar negara ataupun tidak.

    “Sama ada dia akan terus bersama Nakhon Ratchasima, itu bergantung kepada prestasi semasanya dan juga keputusan sama ada dia mahu terus beraksi di luar.

    “Namun sebagai jurulatih, saya akan terus memberi galakan padanya untuk mengambil cabaran baharu dan jika ada tawaran lain, saya rela melepaskannya untuk dia mengejar cita-citanya,” kata beliau.

    Setelah gagal untuk menjaringkan gol pada enam perlawanan sebelumnya, Shahrel akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila beliau menjaringkan gol buat Nakhon dalam saingan Thai King’s Cup pada Rabu lalu.

    Eky bijak untuk menyempurnakan hantaran rakan sepasukan dan beliau menjaringkan gol ketiga Nakhon sekaligus membantu pasukan beliau mara ke peringkat seterusnya.

    Ditanya mengenai jaringan Eky, Abu Bakar mempunyai keyakinan terhadap bekas ketua pasukan PKNP FC itu meskipun beraksi di saingan yang lebih tinggi dan juga sukar.

    “Memang saya jangkakan Shahrel pasti dapat menjaringkan gol kerana sikapnya yang sentiasa berusaha untuk menambahkan keyakinan ketika beraksi.

    “Syukurlah dia berjaya meledak gol pertamanya dan saya percaya lebih banyak gol dapat disumbangkan olehnya selepas ini,” kata beliau.

    Bukan sahaja Abu Bakar yang mahukan Shahrel Fikri terus beraksi saingan Thai League 1 malah peminat bola sepak negara juga mahukan Shahrel untuk kekal beraksi di Liga terbaik di rantau Asia Tenggara itu.

    Ini kerana Shahrel dianggap salah seorang pemain yang akan mengemudi barisan serangan pasukan kebangsaan di samping Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dan beliau perlu untuk beraksi di tahap yang lebih tinggi dan juga sukar bagi menaikkan lagi mutu dan juga kualiti permainan beliau.

    Baca JugaShahrel Fikri Akhiri Kemarau Jaringan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.