• Ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee terpaksa membuat pertukaran di saat akhir dengan menggugurkan pemain tengah, Danial Amier Norhisham, 21, kerana kecederaan pangkal peha yang masih lagi belum puih sebelumnya.

    Datuk Ong memasukkan semula nama pemain pertahanan PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie, 22, yang sebelum ini digugurkan ketika senarai pemain diumum semalam.

    “Selepas berbincang dengan pihak doktor dan melihat keadaan Danial Amier pada latihan pagi tadi, kami mendapati yang kecederaan pangkal paha (groin) yang dialaminya mungkin akan mengambil masa yang lebih panjang untuk pulih sepenuhnya.

    “Jadi, memandangkan masa suntuk menjelang dua perlawanan awal bertemu Republik Kyrgyz pada Rabu (15 Ogos) dan Republik Korea pada Jumaat (17 Ogos), saya memerlukan pemain yang lebih cergas untuk diturunkan walaupun diakui posisi tengah agak kekurangan pemain.

    “Tapi saya harus juga memikirkan secara keseluruhan pasukan yang mana kesemua 20 pemain yang dibawa ini harus berada dalam keadaan yang cukup baik dan cergas untuk diturunkan bila-bila masa.

    “Jadi dengan kekosongan yang ditinggalkan Danial Amier itu, saya mengambil keputusan untuk menyenaraikan semula Rodney bagi melengkapkan senarai akhir 20 pemain,” kata Datuk Ong Kim Swee, hari ini.

    Dengan ketiadaan Danial Amier Norhisham, jentera tengah pasukan negara kini hanya mempunyai Baddrol Bakhtiar, Nik Akif Syahiran dan juga Syahmi Safari bagi menghadapi temasya Sukan Asia 2018.

    Situasi ini sangat berisiko kerana jika kecederaan melanda salah seorang daripada tiga pemain tengah sedia ada, maka pasukan negara tiada back up pemain bagi posisi tersebut.

    Walau apa pun, diharapkan tumpuan pemain sedia ada tidak terjejas dengan pengguguran Danial Amier dan mereka berjaya mengekalkan momenum positif setelah mencatat kemenangan ke atas UAE pada perlawanan pemanas badan terakhir.

    Baca Juga: Ketibaan Hadi Fayyadh Tambah Sengat Barisan Serangan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.