• Ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee kini mengalihkan fokus beliau kepada kempen kelayakan bagi kejohanan AFC Bawah 23 Tahun yang dijadualkan akan bermula pada Mac tahun hadapan.

    Datuk Ong menegaskan perancangan awal perlu dilakukan dalam usaha membentuk skuad mantap untuk mengharungi kempen kelayakan itu.

    “Kami perlu lakukan perancangan awal yang lebih rapi dan memperbanyakkan aksi persahabatan terutama di luar negara. Tahun ini saja kami beraksi lapan perlawanan bermutu tinggi termasuk pada Kejohanan AFC di China.

    “Saya juga mempunyai lebih kurang 10 pemain seperti Syamer Kutty Abba dan Daniel Amier yang masih boleh bersama. Jadi majoriti pemain yang ada memberi impak berlainan dan menjadikan pasukan lebih kuat.

    “Saya sentiasa yakin dengan pemain sedia ada dan bagi kelayakan Kejohanan AFC tahun depan, saya percaya kami mampu layak dan pada masa sama membuka harapan ke Sukan Olimpik 2020,” katanya ketika ditemui oleh Berita Harian.

    Datuk Ong menambah beliau tetap berpuas hati dengan persembahan keseluruhan anak buahnya terutama berjaya mengejutkan juara bertahan Korea Selatan pada peringkat kumpulan.

    “Kami kalah pada minit terakhir kepada Jepun, tapi itu hakikat yang perlu diterima dan saya percaya ketika ini jurang (dengan Jepun dan Korea) tidak begitu jauh,” jelas Kim Swee.

    “Apa yang membanggakan bila kami berjaya mengalahkan Korea Selatan yang menyenaraikan pemain Piala Dunia mereka. Kami sudah buktikan kami mampu bersaing, begitu juga ketika menentang Jepun.”

    Pasukan bawah 23 tahun negara mempamerkan aksi yang cemerlang pada temasya AFC Bawah 23 Tahun di China awal tahun ini dimana Malaysia berjaya melangkah ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Korea Selatan dengan keputusan 2-1.

    Akhir sekali, Datuk Ong sudah mengadakan perbincangan bersama pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai program untuk memantapkan lagi skuad B-23.

    Apa yang pasti, pasukan bawah 23 tahun negara perlu memberikan fokus yang sepenuhnya bagi memastikan Malaysia sekali lagi beraksi di pentas tertinggi di rantau Asia.

    Baca Juga: Kita Setanding Dengan Jepun

    Leave a comment

    Your email address will not be published.