• Juara Liga Perdana musim 2018, Felda United menduduki tangga teratas kumpulan B dalam saingan Piala Malaysia 2018 setelah membelasah pasukan PDRM FA dengan keputusan 5-0 semalam. Pasukan Felda United dilihat mempunyai kualiti untuk muncul sebagai juara edisi kali ini.

    Pada perlawanan semalam, Felda dilihat tidak berdepan sebarang masalah apabila mereka mudah menyumbat lima gol ke gawang PDRM. Namun, mereka perlu menunggu sehingga separuh masa kedua untuk memperoleh jaringan.

    Thiago Augusto menjadi watak utama dalam kemenangan Felda apabila pemain dari Brazil ini berjaya menjarinkan hatrik. Dua lagi gol Felda dijaringkan oleh Gilberto Fortunato dan ketua pasukan, Shukor Adan.

    Kualiti yang kami maksudkan ialah kualiti pemain tempatan dan juga import yang dimiliki oleh pasukan Felda dan serta corak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih berpengalaman, B.Sathianathan.

    Thiago Augusto dan Gilberto Fortunato sebelum ini menjadi penguasa dalam saingan Liga Perdana dan menjadi faktor penting dalam memastikan Felda meraih kejuaraan. Selain itu, gandingan kedua-dua pemain ini berjaya menghasilkan 32 jaringan dalam semua pertandingan setakat ini. Satu pencapaian yang sangat luar biasa.

    Jika kedua-dua pemain import ini berjaya mengekalkan momentum, ditambah dengan pemain tempatan berpengalaman seperti Shukor Adan, Wan Zack Haikal dan Ahmad Syamim Yahyah, Felda dilihat boleh memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan besar daripada saingan Liga Super bagi memperebutkan trofi paling berprestij dalam saingan Liga Malaysia itu.

    Felda United bakal menentang pasukan bimbingan Datuk K.Rajagopal, PKNS FC pada perlawanan ketiga kumpulan B. Jika mereka berjaya mencatat satu lagi kemenangan, maka peluang pasukan bimbingan B.Sathianathan untuk mara ke peringkat suku akhir semakin cerah.

    Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan Felda United untuk muncul juara dalam saingan Piala Malaysia edisi kali ini ?

    Dengan kualiti barisan pemain yang mereka ada, mampukah Felda menyingkirkan saingan daripada pasukan besar dari saingan Liga Super seperti Johor Darul Ta’zim dan Pahang untuk muncul juara ?

    Baca Juga: Pasukan Liga Perdana Mampu Untuk Cipta Kejutan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.