• Dengan perjalanan pasukan bawah 23 tahun di Sukan Asia 2018 telahpun tamat, kini tumpuan peminat bola sepak Malaysia terarah kepada persiapan pasukan senior negara untuk menghadapi Piala AFF Suzuki yang akan bermula pada November ini. Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe berkemungkinan besar bakal menggunakan gabungan pemain daripada skuad bawah 23 dan 19 tahun.

    Sebelum ini, Cheng Hoe menyuarakan hasrat bahawa beliau mahu menggunakan majoriti pemain muda untuk membawa cabaran Malaysia di kejohanan Piala AFF nanti. Melihat kepada prestasi cemerlang skuad bawah 23 dan 19 tahun, kita bakal melihat pemain yang dibawa nanti berasal dari dua pasukan ini.

    Dari skuad bawah 19 tahun, Nik Akif Syahiran dan Akhyar Rashid sudah pasti berada dalam senarai Cheng Hoe untuk dibawa kerana kecemerlangan kedua-dua pemain ketika temasya Sukan Asia. Satu lagi nama yang mungkin dipertimbangkan ialah penyerang Johor Darul Ta’zim II, Hadi Fayyadh.

    Manakala daripada pasukan bawah 23 tahun pula, ada beberapa pemain yang boleh diberikan perhatian oleh Cheng Hoe. Irfan Zakaria, Dominic Tan dan Adam Nor Azlin dilihat mampu untuk mencabar bagi posisi pertahahan tengah negara.

    Syahmi Safari, Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba pula boleh mencabar tempat di bahagian tengah dimana sebelumnya ada pemain seperti Akram Mahinan dan Mahali Jasuli.

    Manakala di bahagian serangan pula, Syafiq Ahmad dan R.Kogileswaran bakal bersaing dengan Shahrel Fikri Fauzi, Zaquan Adha dan Hazwan Bakri bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

    Apa yang pasti, barisan pemain muda negara perlu terus diberikan peluang dan pendedahan dengan beraksi di pentas yang lebih besar bagi memastikan para pemain ini mampu untuk meningkatkan corak dan juga mutu permainan mereka.

    Sudah tiba masanya pasukan senior negara diisi dengan pemain muda dan gabungan diantara pemain daripada skuad bawah 23 tahun dan 19 tahun merupakan satu langkah yang ideal dan juga tepat bagi memastikan Malaysia mampu mencabar pasukan besar di rantau Asia.

    Baca Juga: Barisan Tengah Lebih Kuat Jika Diisi Nor Azam Azih ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.