• Ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berkata kegagalan pemain untuk menyempurnakan peluang yang terhidang menjadi punca kepada kekalahan di tangan pasukan Jepun semalam.

    Menurut laporan Berita Harian, Datuk Ong sudah menasihati para pemain bahawa Jepun merupakan pasukan yang kuat.

    “Sebelum perlawanan saya sudah ingatkan bahawa lawan adalah sebuah pasukan yang kuat, mereka jelas berbeza ketika tewas kepada Vietnam tempoh hari.

    “Namun kami mampu bertahan sehingga penghujung perlawanan. Kami tidak menyempurnakan peluang awal dan dihukum,” kata beliau.

    Tambah Datuk Ong, meskipun pasukan lawan menurunkan pemain daripada skuad bawah 21 tahun mereka, namun mereka lebih dominan dan Malaysia berjaya memberikan kesukaran kepada Samurai Biru pada sebahagian besar perlawanan.

    Datuk Ong menurunkan kesebelasan utama yang sama sepertimana ketika pasukan negara menewaskan Korea Selatan pada perlawanan peringkat kumpulan. Akan tetapi, deretan peluang yang diperoleh gagal untuk menghasilkan jaringan buat pasukan negara.

    Walaupun berjaya mempertahankan pintu gol daripada tidak dibolosi sehingga minit-minit terakhir perlawanan, namun sepakan penalti yang diperoleh pasukan Jepun mengubah segala-galanya.

    Apa yang pasti, meskipun terpaksa mengakhiri perjalanan di peringkat 16 pasukan terakhir, barisan pemain yang dibawa kali ini perlu diberikan pujian kerana mereka berjaya menampilkan aksi terbaik sepanjang perlawanan peringkat kumpulan.

    Meskipun turun tanpa beberapa tonggak utama dan juga persiapan yang sedikit terjejas, namun itu semua tidak mematahkan semangat pemain. Malah beberapa pemain negara merupakan pemain terbaik dari rantau Asia Tenggara pada temasya Sukan Asia edisi kali ini.

    Selain itu, persembahan yang ditunjukkan sepanjang temasya berlangsung membuktikan bahawa para pemain sudah bersedia untuk membawa cabaran dengan beraksi bersama pasukan senior negara pada masa akan datang.

    Diharapkan kekalahan kepada Jepun semalam tidak mematahkan semangat para pemain untuk memperkemaskan lagi segala kelemahan dan memastikan mereka mampu tampil lebih baik pada perlawanan yang akan datang. Kami di Inikan Bola mengucapkan syabas kepada para pemain kerana kerja keras dan kesungguhan yang ditunjukkan.

    Baca Juga: Sukan Asia 2018: Samurai Libas Cakar Harimau!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.