• Juara 33 kali Piala Malaysia, pasukan Selangor semakin tenat apabila mereka tewas di tangan juara Piala FA 2018, pasukan Pahang dengan keputusan 2-0. Gergasi Merah kini menduduki tangga tercorot kumpulan D tanpa sebarang mata dan juga jaringan.

    Selangor gagal untuk memperbaiki corak permainan mereka dan Pahang dilihat mudah untuk memecahkan benteng pertahanan Selangor. Yang paling ketara ialah K.Kannan yang dilihat bergelut untuk mengawal Mohamadou Sumareh. Kannan mudah diatasi Sumareh dan pemain dari Gambia itu berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Selangor.

    Selain bahagian pertahanan, bahagian tengah pasukan Selangor juga gagal untuk menampilkan aksi terbaik pada perlawanan sebentar tadi. Mereka nyata merindukan kelibat Syahmi Safari dan juga Evan Dimas di bahagian tersebut.

    Bagi pasukan Pahang pula, mereka berada satu tahap lebih baik berbanding pasukan lawan pada perlawanan di Stadium Shah Alam. Bahagian serangan Pahang yang diketuai oleh Sumareh nyaya tidak berdepan sebarang masalah untuk menjaringkan gol.

    Selain bahagian serangan, bahagian tengah dan pertahanan pasukan Pahang juga menampilkan aksi yang baik. Pahang bijak untuk memanfaatkan situasi bola mati dan Muslim Ahmad berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan penjuru.

    Kemenangan ke atas Selangor membolehkan anak-anak buah Dollah Saleh menghuni tangga teratas dengan perolehan empat mata, sama mata dengan pasukan Sabah yang berjaya mencipta kejutan dengan menewaskan PKNP FC dengan keputusan 1-0.

    Manakala bagi pasukan bimbingan Nazliazmi Nasir pula, mereka kini menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata dan juga jaringan. Satu-satunya pasukan dalam kumpulan D yang gagal untuk mengutip mata dan menjaringkan gol. Keadaan Gergasi Merah ketika ini dilihat semakin tenat dan perlukan perubahan segera jika mereka mahu melangkah ke peringkat suku akhir.

    Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan Pahang ke atas pasukan Selangor dalam aksi kumpulan D saingan Piala Malaysia edisi 2018? Mampukah Pahang mengekalkan momentum sekaligus terus menghuni tangga teratas?

    Dan apa yang diperlukan oleh pasukan Selangor untuk mereka bangkit dengan meraih kemenangan pada perlawanan seterusnya?

    Baca Juga: Selangor Berdepan Cabaran Sukar

    Leave a comment

    Your email address will not be published.