• Ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee setakat ini sudah menggunakan kedua-dua penjaga gol, Haziq Nadzli dan Ifwat Akmal dalam saingan peringkat kumpulan E Sukan Asia 2018. Pada perlawanan menentang pasukan Jepun Jumaat ini, penjaga gol mana yang lebih sesuai untuk diturunkan?

    Pada dua perlawanan pertama ketika menewaskan Kyrgyzstan dan Korea Selatan, Haziq diturunkan dalam kesebelasan utama dan beliau menampilkan aksi yang cukup cemerlang apabila menafikan beberapa percubaan pemain lawan.

    Persembahan terbaik penjaga gol Johor Darul Ta’zim ini ialah ketika pasukan negara menewaskan juara bertahan, Korea Selatan pada perlawanan kedua peringkat kumpulan. Ketangkasan Haziq sering kali mengecewakan pemain Korea sekaligus memastikan Malaysia menewaskan Korea Selatan buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun.

    Bagi Ifwat Akmal pula, beliau diturunkan pada perlawanan menentang Bahrain Isnin lalu dimana pasukan negara terpaksa tunduk dengan keputusan 3-2.

    Meskipun gagal untuk mengekalkan momentum kemenangan, Ifwat juga berjaya menafikan beberapa percubaan pemain Bahrain dan memastikan pintu gol negara tidak dibolosi lebih banyak gol.

    Jika melihat kepada jumlah jaringan yang dilepaskan oleh kedua-dua penjaga gol ini, Haziq telah dibolosi sebanyak dua gol manakala Ifwat pula dibolosi sebanyak tiga gol.

    Akan tetapi, persembahan yang ditampilkan oleh Haziq Nadzli pada dua perlawanan sebelumnya dilihat lebih meyakinkan. Faktor ini ditambah dengan persembahan mantap trio pertahanan negara iaitu Dominic Tan, Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin.

    Manakala barisan pertahanan yang diturunkan ketika perlawanan menentang Bahrain dilihat sedikit goyah dengan melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.

    Apa yang pasti, penjaga gol yang akan diturunkan pada perlawanan menentang pasukan Jepun Jumaat ini perlu menampilkan aksi terbaik beliau bagi memastikan pintu gol negara tidak dibolosi sekaligus membawa Malaysia mara ke peringkat suku akhir temasya Sukan Asia 2018.

    Apa pendapat anda mengenai penjaga gawang yang bakal diturunkan pada perlawanan menentang Jepun pada Jumaat ini? Penjaga gol manakah yang lebih layak untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan negara?

    Baca Juga: Pemain Simpanan Perlu Perbaiki Prestasi

    Leave a comment

    Your email address will not be published.