• Juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim semakin hampir untuk melangkah ke peringkat suku akhir selepas berjaya menewaskan pasukan Kelantan 1-0 semalam.

    Pasukan bimbingan Luciano Figueroa ini terpaksa berhempa pulas pada perlawanan semalam sebelum mencatatkan kemenangan kedua apabila Fernando Marquez berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-65.

    Kemenangan semalam menebus kehampaan JDT yang sebelum ini tewas 0-1 kepada The Red Warriors pada 17 Ogos lalu dan sekali gus menghidupkan semula perjuangan skuad The Southern Tigers bagi memburu slot ke peringkat suku akhir.

    Walaupun JDT menguasai perlawanan sebaik wisel dibunyikan pengadil namun mereka seolah-olah buntu sepanjang 15 minit awal permainan sambil anak didik Yusri Che Lah bijak membaca gerakan dan pantas menghalang setiap asakan yang dilakukan oleh pemain JDT.

    Pasukan Kelantan pula yang turun tanpa pemain tonggak dilihat berjaya menyekat segala gerakan yang dilancarkan oleh pemain lawan dan mereka menyukarkan barisan serangan JDT untuk mencari jaringan.

    Peluang terbaik tuan rumah pada separuh masa pertama untuk membuka tirai jaringan tidak kesampaian selepas bola sepakan percuma Gonzalo Cabrera pada minit ke-31 tidak menepati sasaran walaupun penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin sudah tertewas.

    Memasuki separuh masa kedua, akhirnya tuan rumah berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-65 selepas bola umpanan Cabrera disambut Marquez yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum merembat bola leret ke sudut kanan gawang pelawat untuk gol tunggal perlawanan.

    Dengan kemenangan semalam, JDT kini menerajui kumpulan C dengan kutipan 6 mata selepas 4 perlawanan. Namun, kedudukan tersebut dijangka berubah apabila Kedah akan menentang pasukan MISC-Mifa malam ini.

    Walaupun begitu, Johor Darul Ta’zim wajib mengekalkan momentum kemenangan pada dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan kerana jarak mata diantara empat pasukan tidak terlalu jauh. Keempat-empat pasukan dalam kumpulan C masih lagi berpeluang untuk mara ke peringkat suku akhir.

    Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan Johor Darul Ta’zim ke atas pasukan Kelantan semalam? Mampukah mereka mengekalkan momentum kemenangan pada dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan?

    Baca Juga: Masa Depan Bola Sepak Malaysia Cerah

    Leave a comment

    Your email address will not be published.