• Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) serius dalam usaha mereka mendapatkan khidmat bekas bintang bola sepak Brazil, Ronaldinho bagi beraksi bersama The Bos Gaurus bagi menghadapi kempen kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) yang akan berlangsung pada Februari tahun depan.

    Menurut laporan Kosmo, Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata meskipun ada segelintir pihak yang menganggapnya sebagai bahan jenaka, namun tidak mustahil untuk membawa Ronaldinho ke Ipoh.

    “Saya kira selain tarikan beliau sebagai bekas pemain terbaik dunia, pengalaman yang dimilikinya juga mampu memeriahkan sukan bola sepak negara sete­rusnya menarik minat penggemar sukan itu hadir ke stadium.

    “Saya sedang berusaha mencari ejen yang sesuai untuk berhubung dengan beliau,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Konvoi Jalur Gemilang peringkat negeri di Padang Tanjung Rambutan, Perak semalam.

    Tambah Hasnul Zulkarnain, jika Ronal­dinho bersetuju untuk bermain bersama pasukan Perak, beliau tidak akan bermain sepenuh musim.

    “Bagi aspek kewa­ngan pula, saya rasa tiada masalah kerana Ronaldinho berhasrat mahu bermain secara percuma.

    “Bagaimanapun, kita akan sediakan beberapa fasiliti mengikut kemahuannya,” jelas Hasnul Zulkarnain.

    Sebelumnya, Ronaldinho secara terbuka meluahkan hasratnya untuk bermain pada Liga Malaysia tanpa sebarang bayaran selepas melihat keghairahan peminat bola sepak negara ini serta layanan baik diterimanya selepas dua kali berkunjung ke Kuala Lumpur.

    Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan pandangan beliau mengenai hasrat serius Perak yang mahukan khidmat bekas pemain AC Milan ini.

    Baginda berkata, Perak perlu melakukan beberapa kajian kerana berdasarkan pengalaman JDT yang sebelum ini mengambil pemain bintang, ianya tidak semudah yang disangkakan.

    Baginda mengambil contoh Pablo Aimar yang enggan untuk tinggal di Johor dan mahu tinggal di negara jiran, Singapura. Belum lagi bercakap mengenai fasiliti yang dimiliki pasukan.

    Apa yang pasti, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan oleh PAFA sekiranya mereka serius mahu membawa masuk bekas pemenang Piala Dunia ini. Dengan status Ronaldinho yang merupakan legenda bola sepak dunia, sudah pasti banyak perkara yang beliau mahukan semasa berada di Perak.

    Baca Juga: Ronaldinho Ke Perak, Diperlukan Atau Tidak?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.