• Pasukan bawah 23 tahun negara akan berdepan cabaran sukar hari ini apabila dijadualkan menentang pemenang pinag emas edisi lalu, Korea Selatan. Kecemerlangan barisan serangan negara yang kini dikenali dengan gelaran “SAS” sudah pasti ditagih bagi menggempur kubu pertahanan lawan.

    Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad menunjukkan persembahan yang bertenaga ketika membantu pasukan negara menewaskan Kyrgyztan 3-1 pada perlawanan pertama. Trio ini dilihat memahami gaya permainan masing-masing dan tampak bahaya ketika melancarkan gerakan serangan.

    Menentang Korea Selatan hari ini, pasukan negara berpeluang untuk membalas dendam di atas kekalahan kepada lawan yang sama pada perlawanan peringkat suku akhir temasya AFC Bawah 23 Tahun di China pada awal tahun ini. Akan tetapi, misi tersebut bukanlah satu tugas yang mudah.

    Korea membelasah Bahrain pada perlawanan pertama kumpulan dan mereka melakukannya tanpa kelibat penyerang berbisa mereka, Son Heung-min yang hanya memanaskan bangku simpanan. Jadi, untuk menentang Malaysia petang ini, Son berkemungkinan besar diturunkan dalam kesebelasan utama.

    Selain mengharapkan kecemerlangan “SAS” di bahagian serangan, pasukan negara juga mengharapkan pemain yang diturunkan di bahagian pertahanan dapat menampilkan aksi yang bertenaga bagi menyekat kemaraan Son dan rakan-rakan.

    Kita sedia maklum Son Heung-min merupakan pemain terbaik Asia yang beraksi di Eropah ketika ini. Lihat saja persembahan beliau ketika temasya Piala Dunia 2018 terutamanya ketika membantu Korea Selatan menewaskan juara bertahan, Jerman pada perlawanan ketiga kumpulan. Jadi, penting untuk barisan pertahanan negara merantai setiap pergerakan pemain sayap Tottenham Hotspur ini.

    Apa yang pasti, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee perlu memberikan sepenuhnya fokus mereka terhadap perlawanan hari ini bagi memastikan pasukan negara mencatat keputusan positif sekaligus mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.

    Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan negara untuk meraih keputusan positif pada pertemuan menentang Korea Selatan hari ini ? Mampukah trio serangan negara iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad mengulangi persembahan cemerlang sepertimana perlawanan pertama ?

    Baca Juga: Sukan Asia 2018: Harimau Muda Baham Kyrgyztan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.