• Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mengakui ketiadaan tiga pemain iaitu Syahmi Safari, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armayn yang ketika ini mewakili negara masing-masing dalam temasya Sukan Asia 2018 sememangnya menjejaskan persembahan pasukan Selangor dalam dua perlawanan terakhir.

    Menurut laporan Berita Harian, Dr Johan menyatakan ketiadaan tiga pemain terutamanya Syahmi dan Evan memberi impak yang besar di bahagian tengah pasukan.

    “Kami sedar bahawa kami tidak mempunyai skuad yang lebih mantap untuk kempen Piala Malaysia, tambahan pula dengan ketiadaan tiga tonggak di jentera tengah.

    “Semua tahu bahawa mana-mana pasukan bola, posisi itu yang paling penting. Jadi kami terpaksa akur yang ketiadaan mereka memang memberi kesan besar terhadap permainan Selangor,” kata beliau.

    Selangor sedikit bergelut dengan ketiadaan Syahmi, Evan dan Ilham dalam saingan Piala Malaysia 2018. Ketika ini, mereka meduduki tangga tercorot kumpulan D saingan apabila gagal mengutip sebarang mata dan juga gagal untuk menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir menentang pasukan PKNP FC dan Pahang.

    Pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan, Selangor akan menghadapi pasukan Sabah di Stadium Likas pada esok dan hanya kemenangan akan menghidupkan semula peluang juara 33 kali ini untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

    Dr Johan Kamal berharap perlawanan menentang Sabah ini menjadi titik kebangkitan pasukan Selangor dan mahukan gandingan yang sedang dibentuk dapat membuahkan hasil.

    “Saya rasa pada aksi pertama dan kedua sebelum ini, jurulatih sedang mencuba gandingan pemain baharu (selepas ketiadaan tiga tonggak utama).

    “Jadi, saya harap perlawanan ketiga ini ia menjadi terutama dalam membentuk kombinasi yang baik antara pemain dan kami sangat mengharapkan kemenangan,” katanya.

    Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan Selangor untuk bangkit dalam baki perlawanan saingan Piala Malaysia 2018 ? Mampukah anak-anak buah Nazliazmi Nasir mula meraih kemenangan sekaligus memberikan cabaran kepada pasukan Pahang, PKNP FC dan Sabah yang ketika ini berada di hadapan mereka ?

    Baca Juga: Selangor Berminat Dengan Bekas Pertahanan Red Devils ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.